Majlis Pelancaran Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Pakej 28, 29 Dan 30
Majlis Pelancaran Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Pakej 28, 29 Dan 30
KINABATANGAN, SABAH, 6 NOVEMBER 2021 - YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, hari ini merasmikan majlis pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur bagi Pakej 28, 29 dan 30. Majlis ini turut dihadiri YB Dato' Sri Bung Moktar bin Radin, Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kerja Raya Sabah dan juga YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia.
Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah merupakan projek Kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan Kementerian Kerja Raya sebagai pemilik projek dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah selaku Pegawai Penguasa Projek.
Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi Pakej 28, 29 dan 30 sepanjang 58 kilometer dengan kos pembinaan sebanyak RM877juta ini merupakan sebahagian daripada keseluruhan jajaran yang akan merentasi Sandakan sehingga Telupid.
Secara keseluruhan, skop pembinaan jalan ini akan melibatkan kerja-kerja menaiktaraf daripada dua lorong dua hala (single carriageway) kepada empat lorong dua hala (dual carriageway) dan terdapat juga pembinaan tiga jambatan baharu dan satu persimpangan bertingkat.
Ketiga - tiga pakej kerja ini mengambil masa tiga tahun dan dijangka siap pada Oktober 2024. Apabila siap kelak, laluan ini akan menyediakan akses perhubungan darat yang selesa, cekap dan selamat terutama kepada penduduk di sekitar daerah Beluran. Laluan ini juga akan mempermudahkan urusan logistik dan pasaran hasil pertanian di daerah Telupid dan mampu merancakkan aktiviti pelancongan di sekitar daerah Sandakan.
Kesalinghubungan jaringan pengangkutan yang baik secara tidak langsung akan merangsang aktiviti sosioekonomi penduduk setempat, pewujudan pekerjaan baharu dan sekali gus mengurangkan ketidakseimbangan antara wilayah. Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah ini adalah satu komitmen Kerajaan Persekutuan dalam mewujudkan pembangunan yang mampan, seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif untuk semua lapisan masyarakat, etnik dan wilayah. Ini adalah selari dengan hasrat yang terkandung pada Teras Strategik Keenam di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 iaitu Keterangkuman Wilayah.
- Log in to post comments