Keselamatan Dan Keselesaan Pemanduan Di Jalan Batu Pahat - Ayer Hitam - Kluang FT050 Diberi Perhatian
BATU PAHAT, JOHOR, 11 NOVEMBER 2021 — Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Kontraktor dan Pecah Tanah bagi pelaksanaan Projek Membina Median, Pusingan U Dan Kerja-Kerja Berkaitan di Jalan Batu Pahat - Ayer Hitam - Kluang FT050 Daripada Parit Sempadan, Batu Pahat (Seksyen 21) Hingga Jambatan Merentasi Lebuhraya PLUS (Seksyen 34.5) telah berlangsung hari ini di tapak pembinaan bagi menandakan permulaan kerja fizikal di tapak.
Hadir menyempurnakan Penyerahan SST dan Pecah Tanah ini ialah Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof bersama Menteri Pengangkutan, YB Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong.
Keselamatan pengguna jalan raya dan keadaan trafik semasa Jalan Persekutuan FT050 yang merupakan jalan utama tanpa tol yang menghubungkan Daerah Batu Pahat hingga ke Kluang ini terus diberi perhatian melalui satu projek naik taraf.
Keperluan projek ini adalah sangat mendesak dan penting bagi mengurangkan jumlah kemalangan maut dan parah di sepanjang jajaran ini yang direkodkan sebagai lokasi kemalangan tertinggi di Malaysia disebabkan oleh ketiadaan median dan bahu jalan. Dari tahun 2015 sehingga 2020, terdapat sejumlah 405 kemalangan dengan 227 kemalangan maut dicatatkan di laluan FT050. Jumlah kemalangan maut ini amat membimbangkan dan aspek keselamatan di jalan ini amat diperlukan untuk mengurangkan kadar kemalangan.
Laluan yang menghubungkan Pekan Parit Raja ke Plaza Tol Ayer Hitam ini juga direkodkan sebagai laluan berkapasiti tinggi dan sering berlaku kesesakan teruk terutama pada musim cuti perayaan. Kajian trafik yang dijalankan pada tahun 2020 merekodkan 28,298 trafik dalam masa 16 jam dan 2,279 trafik dalam waktu puncak 5 petang hingga 6 petang. Jumlah trafik di laluan ini adalah tertinggi di Daerah Batu Pahat berbanding kawasan lain di daerah yang sama.
Atas faktor keselamatan dan trafik semasa, Kerajaan Persekutuan telah memberi keutamaan dan bersetuju meluluskan sebanyak RM250 juta untuk menaiktaraf laluan FT050 dari Seksyen 21 sehingga Seksyen 34.5 dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11). Lokasi yang terlibat adalah Daerah Batu Pahat sehingga ke Daerah Ayer Hitam.
Antara skop kerja yang dilaksanakan bagi projek ini ialah pembinaan pembahagi jalan sepanjang 13.5 kilometer dengan 3 pusingan U untuk kenderaan berat, pelebaran bahu jalan sedia ada dari jalan tunggal 4 lorong kepada jalan berkembar 4 lorong 13.5 kilometer, menaiktaraf 5 persimpangan (Persimpangan Parit Sempadan, Pekan Parit Raja, Parit Botak, Pekan Ayer Hitam dan Bandar Baru Ayer Hitam), membina tiga jejantas baharu untuk pejalan kaki dan laluan motosikal dan menaiktaraf sistem perparitan dan pembentung sedia ada.
Di dalam Rolling Plan Pertama, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sebanyak RM135 juta untuk membiayai projek infrastruktur jalan dan jambatan di Negeri Johor. Salah satu projek infrastruktur yang akan dinaiktaraf ialah Projek Pembinaan Pembahagi Jalan Dan Pelebaran Jalan Di Laluan FT050 Jalan Batu Pahat – Ayer Hitam – Kluang ini.
Pelaksanaan projek ini adalah secara Konvensional Perunding dan telah diberi milik tapak kepada kontraktor yang berjaya iaitu syarikat Aktif Unggul Sdn. Bhd. pada 26 Oktober 2021 dan dijangka siap pada Oktober 2024.
- Log in to post comments