Menteri Kanan Kerja Raya Meninjau Persiapan Pusat Pemberian Vaksin Sektor Pembinaan
Menteri Kanan Kerja Raya Meninjau Persiapan Pusat Pemberian Vaksin Sektor Pembinaan
KUALA LUMPUR, 29 JUN 2021 - Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato' Seri Haji Fadillah Haji Yusof mengadakan lawatan meninjau persiapan di Pusat Konvensyen CIDB Malaysia di Jalan Chan Sow Lin yang dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi sektor pembinaan.
Bagi mempercepatkan kadar vaksinasi barisan hadapan ekonomi, Kementerian Kerja Raya, melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hari ini, menawarkan vaksinasi COVID-19 atau Construction Industry Vaccination Program (CIVac) untuk 40,000 pekerja di dalam sektor pembinaan.
Program pemberian vaksin yang akan diselaraskan oleh CIDB ini menyasarkan pekerja sektor pembinaan dan akan dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 1 Julai 2021 serta seluruh negeri Selangor pada 14 Julai 2021.
Kementerian Kerja Raya (KKR) telah membentangkan cadangan pelaksanaan program vaksinasi kepada sektor pembinaan ini kepada Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (The COVID-19 Immunisation Special Task Force - CITF) pada 14 Jun 2021 dan ianya telah dipersetujui.
Melalui program ini, pihak swasta perlu menyediakan dan membiayai sendiri pasukan petugas dan pegawai perubatan bertauliah serta Pusat Pemberian Vaksin (PPV), manakala bekalan serta penghantaran vaksin akan diberikan secara percuma oleh Kerajaan. Dalam hal ini, CIDB akan menyelaras dan memudahcara pelaksanaan program pemberian vaksin ini bagi pihak industri pembinaan.
Ini adalah sebahagian dari sumbangan CIDB dalam membantu penggiat industri pembinaan terutamanya di waktu yang mencabar ini. Caj pemberian vaksin yang akan dikenakan melalui program ini adalah sebanyak RM140 seorang untuk 2 dos suntikan vaksin yang lengkap. Bagi meringankan beban kewangan di pihak industri, CIDB akan memberikan subsidi RM50 untuk seorang pekerja dan juga menawarkan premis CIDB sebagai PPV secara percuma.
Ini bermakna majikan di dalam sektor pembinaan hanya perlu membayar RM90 untuk setiap seorang pekerja yang divaksin. Penyertaan untuk program ini adalah secara sukarela dan dalam hal ini penggiat industri pembinaan boleh memilih untuk mengadakan program pemberian vaksin sendiri kepada pekerja mereka dengan berurusan secara terus dengan CITF.
- Log in to post comments