Jelajah FTRoadpedia Sabah
Jelajah FTRoadpedia Sabah
PAPAR, 28 MEI 2022 - Hari kedua, Jelajah FTRoadpedia Sabah anjuran Kementerian Kerja Raya (KKR) diteruskan dengan perjalanan dari Kundasang ke Kota Kinabalu bagi meninjau perkembangan semasa Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah.
Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof dan delegasi jelajah memulakan tinjauan di lokasi kerja pembaikan cerun di KM 88.0 Jalan Kota Kinabalu – Sandakan (Laluan Persekutuan 22) Ranau, Sabah, berdekatan simpang masuk Taman Negara Kinabalu.
Pada 20 Januari 2021 yang lalu telah berlaku tanah runtuh di tempat letak kenderaan awam simpang masuk ke Taman Negara Kinabalu membabitkan kawasan 150 meter (panjang), 72 meter (lebar) dan 33 meter (tinggi). Kejadian berpunca daripada hujan lebat berterusan di zon pantai barat dan pedalaman Sabah.
Pembaikan sementara telah dilaksanakan dan siap 100 peratus dengan kos RM4.5 juta. Permohonan bagi pembaikan kekal telah dipohon dalam Rolling Plan 3, Rancangan Malaysia Ke-12 sebanyak RM36.1 juta.
Perjalanan Program FTRoadpedia Sabah diteruskan dengan tinjauan ke Pakej Kerja 8 iaitu dari Sepanggar ke bulatan Berunggis sepanjang 11.7 km, Pakej Kerja 7, Inanam ke Sepanggar sepanjang 9.9km dan Pakej Kerja 6, Putatan ke Inanam sepanjang 19.6km.
Lokasi terakhir tinjauan adalah di Pakej Kerja 5 iaitu dari Donggongon ke Simpang Jalan Spur. Pakej Kerja ini adalah pakej kerja pertama yang dilaksanakan iaitu bermula pada 31 Julai 2016 dan dijangka siap sepenuhnya pada 31 Mei 2022.
Secara keseluruhan status kemajuan terkini bagi projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 yang merupakan projek Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak 57 peratus melibatkan 15 Pakej Kerja yang telah dibuat pelantikan kontraktor untuk kerja pembinaan.
Sewaktu kaedah asal pelaksanaan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah melalui Rakan Pelaksana Projek (Project Delivery Partner – PDP) sebanyak 35 pakej kerja telah dipersetujui. Namun begitu setelah penamatan PDP, hanya 15 Pakej Kerja diteruskan pelaksanaannya secara konvensional, di mana Jabatan Kerja Raya Sabah bertindak sebagai Pegawai Penguasa (Superintending Officer – SO) bagi memantau pelaksanaan projek.
Bagi pelaksanaan baki 19 Pakej Kerja, kelulusan prinsip telah diperolehi berdasarkan Mesyuarat Kabinet pada 4 Mac 2022 untuk dilaksanakan dengan tempoh pembinaan selama 5 tahun, bagi melengkapkan keseluruhan 35 Pakej Kerja Fasa 1 projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.
- Log in to post comments