KKR TERIMA PERUNTUKAN PEMBANGUNAN RM9.736 BILION BAGI TAHUN 2027, PERKUKUH PELAKSANAAN PROJEK INFRASTRUKTUR NEGARA | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

KKR TERIMA PERUNTUKAN PEMBANGUNAN RM9.736 BILION BAGI TAHUN 2027, PERKUKUH PELAKSANAAN PROJEK INFRASTRUKTUR NEGARA

Submitted by wmukk on 27 October 2026

KUALA LUMPUR – Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, telah menyampaikan penggulungan perbahasan Belanjawan 2027 peringkat dasar bagi Kementerian Kerja Raya (KKR) di Dewan Rakyat. 

Kementerian Kerja Raya (KKR) menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM9.736 bilion bagi tahun 2027, meningkat 3.0% berbanding RM9.607 bilion pada tahun 2026, manakala peruntukan mengurus berjumlah RM1.146 bilion.

Dalam penggulungan perbahasan Belanjawan 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini, KKR menegaskan komitmen untuk memastikan setiap peruntukan dimanfaatkan secara optimum melalui pelaksanaan projek berkualiti, pemantauan rapi serta pengurusan kewangan dan perolehan yang berintegriti.

Antara fokus utama ialah mempercepat pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dan Lebuhraya Pan Borneo (LPB), di samping memastikan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya terus diutamakan.

Bagi LPT3, cadangan jajaran sepanjang 122 kilometer dari Kampung Gemuruh, Terengganu hingga Tunjong, Kelantan sedang melalui proses penyediaan dokumen cadangan untuk pelaksanaan secara Kerjasama Awam Swasta (PPP).

Sementara itu, KKR terus memperkukuh pemantauan dan mengambil langkah intervensi bagi menangani kelewatan projek LTU dan LPB, termasuk penyelesaian isu pengambilan tanah, pengalihan utiliti serta tindakan terhadap kontraktor yang gagal memenuhi jadual pelaksanaan.

KKR turut mempergiat penggunaan inovasi dan teknologi digital, termasuk Building Information Modelling (BIM), bagi meningkatkan produktiviti, mengoptimumkan kos serta memastikan pelaksanaan projek lebih cekap dan berkesan.

KKR komited untuk melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab demi memastikan pembangunan infrastruktur negara terus memberi manfaat kepada rakyat serta menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4