13 MEDAL FOR EXCELLENCE DIBAWA PULANG DARI SHANGHAI
SEPANG – Kontinjen Malaysia telah melakar sejarah cemerlang di WorldSkills Competition (WSC) Shanghai 2026 apabila berjaya membawa pulang satu (1) Pingat Gangsa dan 13 Medal for Excellence (MfE), sekali gus merekodkan pencapaian MfE tertinggi negara sejak mula menyertai kejohanan berkenaan pada tahun 1993.
Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi kenyataan rasminya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada kesemua 22 orang wira TVET negara, barisan pakar, jurulatih, serta seluruh warga kerja atas komitmen tinggi dalam mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Pencapaian pingat gangsa telah diraih menerusi bidang Software Testing, manakala 13 Medal for Excellence dicapai merentasi pelbagai bidang kemahiran strategik termasuk Mechanical CAD, Welding, Electrical Installation, Refrigeration & Air Conditioning, Digital Construction, Cooking, Bakery, Beauty Therapy, 3D Digital Game Art, Rail Vehicle Technology, Fashion Technology, Hairdressing, dan Electronics.
Kejayaan berterusan dari peringkat ASEAN Manila 2025 dan Asia Taipei 2025 hingga ke pentas Shanghai 2026 ini menterjemahkan keberkesanan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai landasan arus perdana dalam melahirkan modal insan berimpak tinggi bagi menyokong sektor High Growth, High Value (HGHV).
Selain kejayaan pingat, kontinjen negara turut berjaya merintis jaringan kerjasama strategik bersama syarikat teknologi terkemuka di China bagi penajaan latihan serta pemindahan teknologi (technology transfer) buat belia TVET Malaysia. KKR kekal komited menyokong pemerkasaan bakat kemahiran tempatan demi memacu pembangunan infrastruktur dan perindustrian negara yang mampan.
- Log in to post comments