KSU KKR TINJAU KEMAJUAN PROJEK LTU PAHANG, PERKUKUH PENYAMPAIAN INFRASTRUKTUR STRATEGIK | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

KSU KKR TINJAU KEMAJUAN PROJEK LTU PAHANG, PERKUKUH PENYAMPAIAN INFRASTRUKTUR STRATEGIK

RAUB, PAHANG – YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim,  Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama-sama dengan YB Dato’ Sri Nazri bin Abu Bakar, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pahang hari ini mengadakan lawatan turun padang ke tapak projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Negeri Pahang serta mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Khas (JPPK) LTU Pahang (Task Force) Bilangan 3 Tahun 2026.

Lawatan ini turut dihadiri YBhg. Datuk Dr. Khairus Masnan bin Abdul Khalid, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan), YBrs. Ir. Mohd Shahrom bin Ahmad Saman Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), JKR Malaysia, pegawai-pegawai dari Pejabat SUK Pahang, KKR dan JKR Malaysia. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KKR untuk memastikan pelaksanaan projek LTU Pahang berjalan mengikut perancangan, selain meneliti secara langsung perkembangan kerja di tapak, isu pelaksanaan serta langkah penyelesaian yang perlu diambil bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut tempoh dan spesifikasi yang ditetapkan.

Dalam lawatan tersebut, KSU KKR telah meninjau tapak LTU Pakej 4B di Ladang Jerkoh ke Sega Lama (Benta Bypass), Pahang, dengan akses melalui LTU Pakej 5A. Lawatan turut melibatkan sesi taklimat berkaitan kemajuan projek serta perkembangan semasa pelaksanaan kerja di tapak.

Selesai lawatan, KSU KKR seterusnya menghadiri Mesyuarat JPPK LTU Pahang (Task Force) Bilangan 3 Tahun 2026 di Bilik Gerakan Pejabat Daerah dan Tanah Raub.

Mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada status kemajuan projek, isu-isu berbangkit serta penyelarasan tindakan antara agensi dan pihak berkepentingan bagi memastikan setiap perkara yang boleh menjejaskan kelancaran pelaksanaan projek dapat ditangani secara berkesan dan segera.

KKR komited untuk memastikan pelaksanaan projek LTU Pahang terus dipantau secara menyeluruh dan dilaksanakan dengan mengambil kira aspek kualiti, keselamatan, kos serta tempoh yang ditetapkan.

Projek LTU merupakan antara projek infrastruktur strategik Kerajaan yang penting dalam memperkukuh jaringan perhubungan darat, meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan serta merangsang pertumbuhan sosioekonomi khususnya di negeri-negeri Pantai Timur.

KKR akan terus memperkukuh pemantauan dan penyelarasan di semua peringkat bagi memastikan projek-projek infrastruktur strategik negara dapat memberikan manfaat yang optimum kepada rakyat dan menyokong agenda pembangunan negara.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6