MENTERI KERJA RAYA SEMPURNAKAN MAJLIS PECAH TANAH PROJEK LEBUHRAYA KLK DAN TEROWONG GENTING SEMPAH | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

MENTERI KERJA RAYA SEMPURNAKAN MAJLIS PECAH TANAH PROJEK LEBUHRAYA KLK DAN TEROWONG GENTING SEMPAH

GENTING SEMPAH - Kerajaan telah rasmi melancarkan Projek Pelebaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Pembinaan Terowong Ketiga Genting Sempah yang bernilai kira-kira RM2.1 bilion. Pelaburan strategik ini bertujuan untuk memperkukuh ketersambungan wilayah antara Lembah Klang dan Pantai Timur Semenanjung, sekali gus meningkatkan mobiliti rakyat serta merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Majlis Pecah Tanah dan Pelancaran Projek telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato' Sri Alexander Nanta Linggi, di Tapak Portal Terowong Ketiga Arah Timur, Genting Sempah. Majlis tersebut turut dihadiri oleh pimpinan utama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Kementerian Kerja Raya (KKR), serta rakan industri berkaitan.

Projek ini melibatkan pelebaran jalan sepanjang 45.3 kilometer bermula dari Plaza Tol Gombak (KM19.2) hingga Persimpangan Mempaga, Bentong (KM64.5), di mana laluan sedia ada dinaik taraf daripada dua dan tiga lorong kepada tiga dan empat lorong bagi setiap hala. Projek yang dijadualkan siap pada tahun 2030 ini turut merangkumi pembinaan Terowong Ketiga Genting Sempah sepanjang 999 meter menggunakan kaedah *New Austrian Tunnelling Method* (NATM).

Pelaksanaan projek ini sangat kritikal memandangkan Lebuhraya KLK kini merekodkan purata lebih 135,000 kenderaan sehari, iaitu peningkatan melebihi tiga kali ganda berbanding 41,000 kenderaan sehari pada tahun 1997. Peningkatan kapasiti laluan ini amat penting bagi memastikan lebuh raya utama tersebut dapat menampung pertumbuhan trafik masa hadapan serta menyokong sektor logistik, perdagangan, dan pelancongan.

Menteri Kerja Raya menegaskan bahawa projek ini dilaksanakan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan inisiatif MYJalan. Beliau meminta agar pelaksanaan projek mematuhi spesifikasi, kos, serta standard keselamatan yang ditetapkan, di samping menggesa ia disiapkan secara *Ahead of Time* (AOT) tanpa sebarang *Extension of Time* (EOT).

Sementara itu, pihak LLM selaku badan kawal selia dan AFA Group selaku pihak konsesi menyatakan komitmen penuh untuk bekerjasama rapat. Mereka bertekad memastikan setiap fasa pembinaan memenuhi kualiti dan tadbir urus tertinggi demi memberikan manfaat perjalanan yang lebih lancar, selamat, serta selesa kepada jutaan pengguna.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5