SESI DIALOG INDUSTRI DAN BELANJAWAN 2027 KEMENTERIAN KERJA RAYA (KKR) BERSAMA PENGGIAT INDUSTRI PEMBINAAN | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

SESI DIALOG INDUSTRI DAN BELANJAWAN 2027 KEMENTERIAN KERJA RAYA (KKR) BERSAMA PENGGIAT INDUSTRI PEMBINAAN

PUTRAJAYA – Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini telah mengadakan Sesi Dialog Industri dan Belanjawan 2027 bertempat di Putrajaya International Convention Center (PICC). Sesi ini berfungsi sebagai platform penting bagi KKR untuk mendapatkan usul dan cadangan secara langsung daripada penggiat industri—termasuk pihak persatuan, kontraktor, agensi kerajaan, dan pihak berkepentingan lain—guna memastikan Belanjawan 2027 bersifat holistik serta responsif terhadap keperluan sektor pembinaan selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat.  

Sesi dialog tersebut telah dipengerusikan oleh YB Dato' Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya, bersama barisan panel yang terdiri daripada YB Datuk Seri Dr Ahmad bin Maslan (Timbalan Menteri Kerja Raya), YBhg. Dato' Seri Azman bin Ibrahim (Ketua Setiausaha KKR), serta YBhg. Dato' Ir. Ibrahim bin Esa (Ketua Pengarah Kerja Raya), dan turut dihadiri pegawai-pegawai kanan kementerian serta agensi berkaitan. Dalam ucapan perasmiannya, YB Menteri Kerja Raya menegaskan komitmen KKR untuk terus memperkasakan pembangunan infrastruktur negara. Beliau menekankan bahawa input daripada pelbagai pihak amat penting agar Belanjawan 2027 dapat menangani cabaran semasa dan memacu pertumbuhan sektor pembinaan ke arah yang lebih lestari serta berdaya saing.  

Fokus utama perbincangan merangkumi 30 usul strategik industri pembinaan di bawah Belanjawan 2027 dan 87 usul berkaitan isu-isu industri, yang disusun mengikut tema 'menaikkan siling', 'menaikkan lantai', serta pendekatan seluruh negara. Cadangan Belanjawan 2027 ini menumpukan kepada Enam Agenda Transformasi Sektor Pembinaan, iaitu:  

Agenda 1: Pengukuhan Rangkaian Jalan Raya & Projek Berimpak Tinggi  

Agenda 2: Pemerkasaan Pembangunan Mampan Selaras Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR)  

Agenda 3: Pemerkasaan Ekosistem Pendigitalan & Revolusi Industri 4.0  

Agenda 4: Pembangunan Kapasiti Tempatan  

Agenda 5: Pengukuhan Keselamatan Jalan Raya Menerusi MYJalan  

Agenda 6: Penambahbaikan Peraturan dan Pemantapan Modal Insan  

Sesi dialog yang dihadiri hampir 150 orang wakil pemegang taruh dan agensi ini telah menghasilkan maklum balas yang amat konstruktif dan berharga. Segala cadangan yang relevan akan dipertimbangkan dalam penyediaan Belanjawan 2027 demi memastikan sektor pembinaan kekal berdaya saing, mampan, dan memberi sumbangan signifikan kepada pembangunan sosioekonomi negara.  

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4