PERKASA INFRASTRUKTUR PENDIDIKAN DAN MODAL INSAN DI SMK PENANTI LEBIH RM300,000 MELALUI PROGRAM SEKOLAH ANGKAT MADANI & SEMARAK KERJAYA
KUBANG SEMANG - Kementerian Kerja Raya (KKR) meneruskan komitmen berterusan dalam menyokong agenda pembangunan pendidikan negara menerusi pelaksanaan Majlis Penyerahan Sumbangan Program Sekolah Angkat MADANI (SAM) KKR Tahun 2026 serta penganjuran Program Semarak Kerjaya di Dewan Al-Ghazali, SMK Penanti, Pulau Pinang. Majlis rasmi ini disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, bagi memperkasa prasarana pembelajaran digital, fasiliti fizikal sekolah, dan sahsiah para pelajar.
Fokus utama penyerahan sumbangan kali ini memperlihatkan pemerkasaan fasiliti digital sekolah menerusi perolehan 11 unit papan pintar (smartboard) berserta aksesori lengkap daripada KKR yang telah siap dipasang dan dilatih penggunaannya kepada warga pendidik. Bagi memastikan infrastruktur fizikal sekolah sentiasa selamat dan kondusif, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama JKR turut meluluskan peruntukan kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan bangunan SMK Penanti bernilai RM297,000.00.
Sinergi pelbagai agensi dan sektor korporat turut melengkapkan sumbangan CSR kepada sekolah, termasuk pembekalan 200 unit kerusi plastik daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta sumbangan tunai RM5,000.00 daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Sokongan sektor swasta pula dizahirkan menerusi sumbangan 4 unit komputer riba (laptop) dan 8 unit komputer peribadi (desktop) daripada syarikat MantaSoft Sdn. Bhd. bagi kegunaan pembelajaran murid.
Di samping penyerahan perkakas dan prasarana, pembangunan modal insan pelajar turut diberi keutamaan menerusi Sesi Pengisian Rohani bertajuk "The Dos & Don'ts of Social Media" oleh Ketua Pegawai Psikologi USM bagi mendidik etika penggunaan media sosial. Ini disusuli dengan Program Semarak Kerjaya menerusi Slot "Kompas Kerjaya: Personaliti dan Masa Depan" oleh IPD Timur Laut serta taklimat peluang pengajian tinggi oleh pihak USM bagi membimbing hala tuju kerjaya murid.
Secara keseluruhannya, inisiatif Sekolah Angkat MADANI KKR ini menjadi manifestasi keberkesanan pendekatan Whole-of-Nation menerusi kerjasama erat antara kementerian, agensi kerajaan, dan rakan korporat. Usaha bersepadu ini dijangka mampu mentransformasikan bilik darjah SMK Penanti ke arah era pembelajaran digital serta menyediakan persekitaran persekolahan yang lebih selamat, selesa, dan berdaya saing.
- Log in to post comments