INTEGRITI MEMACU MASA DEPAN INDUSTRI PEMBINAAN | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

INTEGRITI MEMACU MASA DEPAN INDUSTRI PEMBINAAN

KUCHING – Menteri Kerja Raya, YB Dato' Sri Alexander Nanta Linggi hari ini menghadiri Hari Integriti & Kecemerlangan Industri Pembinaan Sarawak (IECONS) 2026 yang telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.

Program yang menghimpunkan seramai 912 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, badan kawal selia, pemain industri, badan profesional dan institusi akademik ini menjadi wadah memperkukuh budaya integriti, tadbir urus dan profesionalisme dalam sektor pembinaan.

Dalam ucapannya, Premier Sarawak menegaskan bahawa agenda pembangunan negeri yang semakin pesat perlu disokong oleh sistem tadbir urus yang kukuh agar setiap pelaburan awam memberi manfaat maksimum kepada rakyat. 

Beliau turut menekankan bahawa ketika Sarawak melaksanakan pelbagai projek strategik dalam bidang infrastruktur, pengangkutan moden, tenaga boleh diperbaharui dan keterhubungan digital, integriti bukan lagi sekadar nilai moral, malah menjadi kelebihan strategik yang mampu meningkatkan keyakinan pelabur, melindungi sumber awam serta memastikan pembangunan dilaksanakan secara mampan.

Sementara itu, YB Dato' Sri Alexander Nanta Linggi menegaskan komitmen Kementerian Kerja Raya untuk terus memperkukuh budaya integriti dan akauntabiliti melalui pelaksanaan MS ISO 37001:2016 Anti-Bribery Management System (ABMS), pengukuhan Unit Integriti, kerjasama strategik bersama SPRM serta pelaksanaan dasar No Gift Policy. 

Menurut beliau, kejayaan sesuatu projek bukan hanya diukur dari aspek tempoh pelaksanaannya, tetapi juga keupayaannya memenuhi spesifikasi, mengoptimumkan kos serta memberi nilai terbaik kepada rakyat berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik.

Semoga penganjuran IECONS 2026 terus menjadi pemangkin kepada pembudayaan integriti dalam industri pembinaan, sekali gus memperkukuh keyakinan rakyat dan semua pihak berkepentingan terhadap pembangunan infrastruktur negara yang lebih telus, mampan dan berdaya saing.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6