PROGRAM PENILAIAN BAKAT (TAP) 2026: KKR PERKASA PELAPIS KEPIMPINAN JKR | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

PROGRAM PENILAIAN BAKAT (TAP) 2026: KKR PERKASA PELAPIS KEPIMPINAN JKR

NEGERI SEMBILAN – Seramai 44 pegawai kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menyertai Program Penilaian Bakat (Talent Assessment Program, TAP) 2026 yang berlangsung selama tiga hari dua malam, bermula 29 hingga 31 Julai 2026.

Program ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Zainal Alhakab Seman, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kerja Raya (KKR), dengan diiringi YBrs. Ir. Maria Marcus, Pengarah Kanan Cawangan Perancangan Aset Bersepadu, Jabatan Kerja Raya (JKR).

TAP 2026 dimulakan dengan Bicara Eksekutif yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Amat Taap Manshor, Ketua Pegawai Eksekutif AJM International Academy. Beliau berkongsi perspektif mengenai anjakan minda, kepimpinan dan pembangunan modal insan, di samping menekankan kepentingan transformasi daripada seorang pakar teknikal kepada pemimpin strategik yang mampu memacu perubahan serta memperkukuh nilai awam.

Program diteruskan dengan perkongsian inspirasi daripada YM Dato' Tengku Ab Aziz Tengku Mahmud, Penasihat PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd., yang mengupas pengalaman di sebalik pembangunan projek ikonik Menara Merdeka Maybank. Perkongsian tersebut memberi gambaran bagaimana sebuah projek mercu tanda bukan sahaja menjadi simbol kebanggaan seni bina negara, malah turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan.

Pelaksanaan TAP 2026 merupakan antara inisiatif strategik KKR dalam mengenal pasti, membangun dan memperkukuh barisan pelapis kepimpinan JKR. Melalui program ini, peserta dinilai secara menyeluruh bagi memastikan organisasi terus diperkasakan dengan pemimpin yang berwibawa, berfikiran strategik dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Sekalung penghargaan dirakamkan kepada semua penceramah, panel, urus setia serta setiap individu yang telah memainkan peranan dalam menjayakan Program Penilaian Bakat (TAP) 2026. Semoga segala ilmu, pengalaman dan komitmen yang dikongsikan sepanjang program ini menjadi bekalan berharga dalam melahirkan pemimpin JKR yang terus memacu kecemerlangan organisasi serta pembangunan infrastruktur negara.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4