PERHIMPUNAN BULANAN KKR JUN 2026: MEMACU INTEGRASI AI DAN MERAYAKAN KEPELBAGAIAN WARGA KERJA | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

PERHIMPUNAN BULANAN KKR JUN 2026: MEMACU INTEGRASI AI DAN MERAYAKAN KEPELBAGAIAN WARGA KERJA

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini telah mengadakan Perhimpunan Bulanan KKR bagi bulan Jun 2026 bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya. Perhimpunan kali ini telah dianjurkan secara bersama oleh Bahagian Khidmat Pengurusan KKR dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan yang disampaikan oleh Ketua Eksekutif CIDB Malaysia yang baharu, Tuan Sr. Ahmad Farrin Mokhtar. Dalam ucapan tersebut, beliau menzahirkan komitmen penuh CIDB untuk terus memperkukuh industri pembinaan negara seiring dengan hasrat kementerian demi memacu pembangunan infrastruktur yang mampan.

Seterusnya, ucaptama perhimpunan telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha KKR, YBhg. Dato' Seri Azman Ibrahim. Beliau menekankan kepentingan bagi seluruh warga KKR untuk kekal berdaya saing, berintegriti dan proaktif dalam mendepani cabaran industri yang semakin dinamik.

Menyentuh mengenai tema perhimpunan bulan ini iaitu "Satu Hati : Merayakan Kepelbagaian, Memacu AI", KKR komited untuk menerapkan elemen kecerdasan buatan (AI) dalam sistem penyampaian perkhidmatan. Pengintegrasian teknologi ini dijangka mampu meningkatkan kecekapan operasi di samping meraikan kepelbagaian latar belakang warga kerja sebagai kekuatan utama kementerian.

Perhimpunan bulanan ini menjadi platform penting dalam menyemarakkan semangat kerja berpasukan serta memastikan seluruh warga KKR dan agensi di bawahnya bergerak seiring demi merealisasikan agenda pembangunan negara.

Foto oleh Shamsol Bahar (CIDB Malaysia)

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4