MESYUARAT JK PEMANDU PROJEK KHAS BAGI PROJEK LTU
PAHANG - Telah berlangsung Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Khas (Task Force) bagi Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Bil. 1/2026 di Pejabat Pegawai Daerah Bentong, Pahang. Mesyuarat yang julung kali diadakan ini adalah bagi memantau serta memudahcara penyelesaian isu-isu berbangkit secara lebih cepat dan berkesan tanpa mengabaikan kepentingan pemegang taruh.
Dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, mesyuarat ini menjadi platform utama dalam meneliti kemajuan pelaksanaan projek yang melibatkan beberapa pakej dan subpakej, termasuk yang masih belum siap.
Perbincangan memberi fokus kepada penetapan dasar dan hala tuju pelaksanaan, pemantauan prestasi fizikal dan kewangan, penyelarasan isu berkaitan tanah bersama agensi berkaitan, serta memastikan pematuhan kepada peraturan, kontrak dan tatakelola yang ditetapkan.
Turut diberi penekanan adalah usaha memperkukuh koordinasi antara agensi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri serta pihak berkepentingan, di samping mengenal pasti risiko pelaksanaan dan merangka langkah penambahbaikan yang bersesuaian.
Turut hadir YBhg. Datuk Dr. Khairus Masnan bin Abdul Khalid, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan), Kementerian Kerja Raya; YH Dato’ Ali Syahbana bin Sabaruddin, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), SUK Pahang; YBrs. Ir. Mohd Shahrom bin Ahmad Saman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), JKR; YBrs. Ir. Atikah binti Zakaria, Pengarah Kanan Cawangan Jalan, JKR; YBhg. Dato’ Razihan bin Adzharuddin, Pengarah ICU JPM Pahang; YH Dato Ir. Ts. Hafizah binti Zakaria, Pengarah JKR Pahang; serta Puan Suriyani binti Ali, Timbalan Pengarah, Kementerian Ekonomi, serta pegawai-pegawai kementerian dan agensi yang terlibat.
Mesyuarat ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh tadbir urus pelaksanaan projek infrastruktur negara agar dilaksanakan dengan lebih cekap, telus dan berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta inisiatif MYJalan dalam memastikan jaringan jalan raya yang selamat, berkualiti dan mampan demi kesejahteraan rakyat.
- Log in to post comments