CHEF DE MISSION SEMARAKKAN SEMANGAT KONTINJEN NEGARA KE WORLDSKILLS COMPETITION SHANGHAI 2026 | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

CHEF DE MISSION SEMARAKKAN SEMANGAT KONTINJEN NEGARA KE WORLDSKILLS COMPETITION SHANGHAI 2026

SHAH ALAM — Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, hadir menyempurnakan Majlis Semarak Semangat Kontinjen Negara bagi menyuntik motivasi kepada para peserta yang bakal menggalas cabaran di WorldSkills Competition (WSC) Shanghai 2026. Kehadiran beliau melambangkan komitmen jitu kerajaan dalam memperkasakan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta mengiktiraf bakat muda tempatan di persada antarabangsa sebagai aset strategik pembangunan negara.

Turut hadir menyerikan majlis tersebut adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kerja Raya, YBhg. Datuk Dr. Khairus Masnan bin Abdul Khalid. Kehadiran barisan kepimpinan tertinggi kementerian ini mencerminkan sokongan padu terhadap pembangunan kompetensi teknikal serta usaha berterusan dalam memastikan tenaga kerja Malaysia kekal relevan dengan standard industri global yang kian mencabar.

Pada edisi kali ini, seramai 22 peserta terpilih akan menggalas mandat sebagai duta kemahiran negara dalam pelbagai bidang teknikal yang dipertandingkan. Kesemua peserta ini merupakan pemenang terbaik dari kejohanan peringkat kebangsaan yang telah menjalani latihan intensif di bawah bimbingan pakar bagi memastikan mereka mampu bersaing secara kompetitif dengan wakil dari lebih 70 buah negara di Shanghai nanti.

Pertandingan WorldSkills Shanghai 2026 merupakan edisi ke-48 bagi kejohanan kemahiran antarabangsa yang paling berprestij di dunia. Acara ini bakal menghimpunkan bakat-bakat muda terbaik dari seluruh pelosok dunia untuk mempamerkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang teknikal dan vokasional.

Kementerian Kerja Raya optimis bahawa penyertaan kali ini bukan sekadar mengejar pingat, malah menjadi platform terbaik bagi mempamerkan kehebatan sistem latihan kemahiran Malaysia. Semangat juang yang dipamerkan oleh 22 perwira negara ini diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda lain untuk menjadikan bidang kemahiran sebagai kerjaya pilihan utama demi memacu kemajuan negara menjelang masa hadapan.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0