TURPA TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA KE PROJEK MASJID TERAPUNG YAN, KEDAH | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

TURPA TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA KE PROJEK MASJID TERAPUNG YAN, KEDAH

YAN, KEDAH – Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan telah turun padang bagi meninjau status kemajuan projek Menyiapkan Baki Kerja Pembinaan Masjid Terapung di Daerah Yan yang kini berada di peringkat akhir pelaksanaan dengan pencapaian fizikal sebanyak 98.6%.  

Projek ini dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kos kontrak sebanyak RM12.431 juta sebagai inisiatif Kerajaan dalam menyediakan kemudahan ibadah yang selesa, selamat dan berkualiti kepada penduduk setempat. Selain itu, pembinaan masjid ini turut berpotensi menjadi tarikan pelancongan baharu serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi komuniti di sekitar Daerah Yan.

Turut hadir, Pengarah Kerja Raya Negeri Kedah, YBrs. Ir. Mohd Fisal bin Ismail; Jurutera Daerah Yan, YBrs. Ir. Norashikin binti Haron; serta pegawai-pegawai kanan JKR Negeri Kedah dan agensi-agensi negeri.

Projek ini sebelum ini telah melalui proses penamatan kontrak pada tahun 2021 susulan isu pelaksanaan. Walau bagaimanapun, kesinambungan projek berjaya dipastikan melalui pelantikan kontraktor baharu pada tahun 2023, dengan kerja-kerja pembinaan kini dipantau rapi bagi memastikan pematuhan kepada spesifikasi dan kualiti yang ditetapkan.

Skop projek merangkumi penyiapan struktur utama masjid serta komponen sokongan seperti pembinaan gerbang, menara tangki air, menara azan, Compact Sub Tenaga Nasional Berhad (TNB), sistem rawatan kumbahan kecil (SSTS), kerja-kerja luaran serta pemasangan mekanikal dan elektrikal.  

Terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Yan atas komitmen dan usaha berterusan dalam memastikan kejayaan pelaksanaan projek ini.

Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, Kementerian Kerja Raya dan JKR komited untuk terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan melalui pembangunan infrastruktur yang berkualiti, berdaya tahan dan memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0
0
0
0