LAWATAN KERJA RASMI YB TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA KE PROJEK PEMBINAAN BAHARU SEKOLAH MENENGAH PENDIDIKAN KHAS VOKASIONAL (SMPKV) PADAWAN, SARAWAK | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

LAWATAN KERJA RASMI YB TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA KE PROJEK PEMBINAAN BAHARU SEKOLAH MENENGAH PENDIDIKAN KHAS VOKASIONAL (SMPKV) PADAWAN, SARAWAK

KUCHING, SARAWAK - YB Datuk Seri Ahmad Bin Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya hari ini telah turun padang bagi meninjau kemajuan kerja Projek Pembinaan Baharu Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) Padawan, Sarawak.

Projek yang bernilai RM 78.999 Juta ini dilaksanakan secara reka dan bina oleh kontraktor yang dilantik iaitu Himpun Daya Sdn Bhd manakala Pasukan Projek Khas 2, Jabatan Kerja Raya Malaysia bertindak sebagai agensi pelaksana projek.

Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) di bawah kawalan Bahagian Pendidikan Khas (BPKhas), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merupakan sekolah yang menyediakan kemudahan untuk Murid Berkeperluan Khas (MBK) bagi institusi pendidikan menengah dari Tingkatan 4 hingga Tingkatan 5 dengan kemudahan asrama penuh bagi 160 murid lelaki dan 160 murid perempuan yang dilengkapi dengan kemudahan dan infrastruktur yang kondusif serta bangunan sokongan bagi menampung keperluan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) berteraskan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013. 

Sekolah ini akan menawarkan aliran kemahiran yang membolehkan murid memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia. Sebanyak tujuh (7) kursus akan ditawarkan kepada murid berkeperluan khas iaitu Pembuatan Pakaian Wanita, Desktop Publishing, Dandanan Rambut, Operasi Pengemasan, Operasi Perkhidmatan Dobi, Refleksologi Kaki, Tangan dan Telinga dan Penyediaan dan Pembuatan Makanan.

Kemajuan semasa projek terkini adalah ikut jadual iaitu 91.37% (Sebenar) berbanding 91.18% (Jadual). Apabila siap sepenuhnya nanti, projek ini merupakan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) yang ke-lima di Malaysia dan pertama di Borneo. Sekolah ini diharap akan dapat menempatkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk mengikuti kursus kemahiran yang akan ditawarkan.

Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap pihak Pasukan Projek Khas 2, Jabatan Kerja Raya Malaysia terus memantau rapi kemajuan projek ini dan sentiasa bekerjasama dengan pihak kontraktor serta melakukan libat urus dan pemeriksaan yang berterusan supaya ianya dapat disiapkan mengikut masa, kos dan kualiti yang ditetapkan bagi mempercepatkan manfaatnya kepada pengguna akhir iaitu pihak Bahagian Pendidikan Khas (BPKhas), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan komuniti setempat.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0
0
0
0