Konvensyen Penyenggaraan Jalan Malaysia (MRMC) 2025 dan Ekspo Teknologi Jalan dan Trafik My-ASEAN (My-ARTTE) 2025
KUALA LUMPUR – YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya, hari ini telah merasmikan Konvensyen Penyenggaraan Jalan Malaysia (MRMC) 2025 dan Ekspo Teknologi Jalan dan Trafik My-ASEAN (My-ARTTE) 2025 yang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Penganjuran julung kali oleh Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) ini menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, peneraju industri serta pakar teknologi dalam sektor jalan raya, lebuh raya dan pengangkutan pintar serantau.
Berlangsung dari 3 hingga 5 November 2025, MRMC dan My-ARTTE menjadi platform strategik untuk membincangkan penyelesaian penyenggaraan jalan secara bersepadu, pemerkasaan teknologi pintar, serta perkongsian inovasi menuju mobiliti mampan di peringkat ASEAN.
Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Zainal Alhakab Seman, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKR; YBhg. Datuk Ir. Haji Zakaria Ahmad Zabidi, Presiden PSKLM; YBhg. Dato’ Ir. Sazali bin Harun, Ketua Pengarah LLM; YB Dato’ Ir. Haji Yusuf bin Haji Abd Wahab, Pengerusi CIDB; YBhg. Datuk Nik Airina Nik Jaffar, Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad; dan Encik Praba Sangarajoo, Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go Sdn. Bhd.
Acara ini turut menampilkan lebih 150 reruai pameran daripada pelbagai negara termasuk Malaysia, Korea, Jerman, Amerika Syarikat dan Australia, menjadikan My-ARTTE 2025 sebagai platform antarabangsa utama dalam memacu masa depan industri jalan raya dan teknologi trafik di rantau ini.
- Log in to post comments