PERSIDANGAN MESYUARAT MAJLIS BERSAMA JABATAN KEMENTERIAN KERJA RAYA (MBJ KKR) TAHUN 2025
NEGERI SEMBILAN – Persidangan Majlis Bersama Jabatan Kementerian Kerja Raya (MBJ KKR) Tahun 2025 telah berjaya diadakan dengan menghimpunkan barisan kepimpinan tertinggi KKR dan wakil-wakil skim perkhidmatan di bawah KKR.
Persidangan ini diadakan sebagai usaha memperkukuhkan jalinan komunikasi dua hala dan memperkasa penyampaian perkhidmatan awam secara menyeluruh.
Melalui persidangan ini, pelbagai pengisian menarik telah dilaksanakan antaranya termasuklah Sesi Bicara Eksekutif, Aktiviti Pengukuhan Pasukan dan Majlis Makan Malam MBJ KKR Tahun 2025.
Persidangan ini telah dimulakan dengan Mesyuarat MBJ KKR Bilangan 3 Tahun 2025 yang dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya bagi meneliti pelaksanaan tindakan usul yang terdahulu, membincangkan usul-usul semasa serta memberi penekanan terhadap isu strategik, tanggungjawab sebagai wakil skim, dan refleksi pencapaian MBJ KKR sepanjang tahun 2025.
Ia juga menyoroti inisiatif reformasi berterusan dalam memperkukuh sistem penyampaian awam termasuk kejayaan KKR dalam meraih pelbagai anugerah dan penarafan bintang sepanjang tahun 2025.
Dalam persidangan tersebut, YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya merangkap Pengerusi MBJ KKR juga berbesar hati menyampaikan sesi bicara eksekutif bertajuk _“To Be a Good Leader, First Learn To Be a Good Follower”_ bersama-sama Pihak Pegawai dan Pihak Pekerja MBJ KKR.
YBhg. Dato’ Seri KSU KKR dalam sesi bicaranya telah berkongsi bahawa asas kepimpinan yang berjaya bermula dengan kemampuan untuk menjadi pengikut yang baik dan dengan menjadi pengikut yang proaktif, seseorang pemimpin dapat memahami dinamik organisasi serta mengembangkan kemahiran interpersonal yang penting.
Sebagai simbolik kepada usaha kolaboratif antara Pihak Pegawai dan Pihak Pekerja MBJ KKR, satu sesi penyerahan gambar Persidangan MBJ KKR Tahun 2025 telah diadakan di antara Pihak Pegawai diwakili oleh YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, Pengerusi MBJ KKR diiringi oleh YBhg. Dato’ Zainal Alhakab Seman manakala Pihak Pekerja diwakili oleh Encik Muhammad Afifi Shakir bin Mahmood Sabri, Naib Pengerusi MBJ KKR dengan diiringi Puan Shazra Nazura binti Mohamad Firdaus selaku Setiausaha Pihak Pekerja MBJ KKR.
Persidangan MBJ KKR Tahun 2025 ini diakhiri dengan Majlis Makan Malam Penutup MBJ KKR Tahun 2025 yang turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Zainal Alhakab Seman, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKR, YBhg. Dato' Ir. Wan Hasnan Bin Wan Musa, Pengarah JKR Negeri Sembilan, YBrs. Ir. Ts. Mohd Faizal Bin Mohd Nordin, Jurutera Daerah Port Dickson, barisan pengurusan tertinggi KKR dan wakil skim perkhidmatan MBJ KKR.
Secara keseluruhannya, Persidangan Majlis Bersama Jabatan Kementerian Kerja Raya (MBJ KKR) Tahun 2025 telah berjaya mengumpulkan barisan kepimpinan KKR dan wakil skim perkhidmatan dalam satu platform strategik yang mengukuhkan komunikasi, memperkasakan nilai kepimpinan melalui Sesi Bicara Eksekutif, memupuk kerjasama melalui aktiviti pengukuhan pasukan, serta meraikan pencapaian cemerlang perkhidmatan awam sepanjang tahun.
Ini adalah sejajar dengan Nilai Bersama KKR untuk mempertingkatkan keberkesanan profesionalisme dan integriti dalam pengurusan serta penyampaian perkhidmatan demi pembangunan infrastruktur Negara yang mampan dan berdaya saing.
©KEMENTERIAN KERJA RAYA MALAYSIA | Foto oleh Adi Saad
- Log in to post comments