PROGRAM ASPIRASI KERJAYA PEMBINAAN 2025 PERKUKUH USAHA MEMPERKASA MODAL INSAN BERKEMAHIRAN
MELAKA – Program Aspirasi Kerjaya Pembinaan 2025 anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan sokongan Kementerian Kerja Raya (KKR) telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC). Program ini menghimpunkan pemimpin industri, institusi pendidikan, belia serta agensi kerajaan dalam usaha memperkukuh kerjasama bagi memperkasa modal insan dan mempromosi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai laluan kerjaya utama dalam sektor pembinaan negara.
Ketua Eksekutif CIDB, Puan Zainora Zainal menegaskan komitmen CIDB dalam melahirkan tenaga kerja pembinaan yang berdaya tahan, kompeten dan berkemahiran tinggi. Beliau turut menekankan peranan CIDB dalam memperkukuh perlindungan sosial pekerja melalui inisiatif Kad Hijau CIDB dan program tanggungjawab sosial seperti Program Sinar Kasih yang memberi bantuan kewangan kepada pekerja berpendapatan rendah (B40/asnaf) yang terlibat dalam kemalangan ketika bekerja.
Mewakili Kementerian Kerja Raya, Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, dalam ucapannya menekankan bahawa program ini sejajar dengan Dasar Pembinaan Negara 2030 (NCP 2030) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang menumpukan kepada pembangunan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi. Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa sektor pembinaan bukan sekadar berteraskan kerja konkrit, tetapi merupakan bidang berpotensi besar untuk melahirkan tenaga mahir dan profesional tempatan yang mampu bersaing di peringkat global.
Majlis turut menyaksikan pemeteraian Nota Kerjasama (MoU) antara Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Selatan dan Gerakan Belia 4B Malaysia bagi memperkukuh latihan kemahiran belia, selain pelancaran Program Sinar Kasih: Harapan Buat Keluarga Pekerja Binaan yang menyalurkan bantuan kewangan kepada 100 pekerja berpendapatan rendah dengan jumlah keseluruhan RM50,000. Timbalan Menteri turut merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan belia Malaysia atas kejayaan cemerlang di WorldSkills ASEAN Manila 2025 dengan memperoleh 19 pingat keseluruhan, sekali gus membuktikan kemahiran tenaga muda negara berada pada tahap antarabangsa.
Program Aspirasi Kerjaya Pembinaan 2025 menggariskan hasrat CIDB untuk terus menjadi peneraju dalam memperkasa modal insan, menjaga kebajikan pekerja dan memastikan industri pembinaan kekal sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi, mobiliti sosial serta ketahanan negara.
- Log in to post comments