BIROKRASI DIKURANGKAN, KECEKAPAN DITINGKATKAN: KEJAYAAN KKR JADI PENANDA ARAS | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

BIROKRASI DIKURANGKAN, KECEKAPAN DITINGKATKAN: KEJAYAAN KKR JADI PENANDA ARAS

KUALA LUMPUR - Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara atas pengiktirafan yang amat bermakna ini. YBhg. Dato' Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, telah mewakili Kementerian untuk menerima penghargaan ini.

Penghargaan ini diberikan khusus atas kejayaan luar biasa dalam projek "Meningkatkan Kecekapan Pelaksanaan Kerja Pengalihan Utiliti Elektrik Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah". Melalui inisiatif ini, KKR telah berjaya merungkai proses yang kompleks, memastikan kelancaran projek mega tersebut dan mempercepat penyampaian manfaatnya kepada rakyat Sabah.

Kejayaan KKR dalam melaksanakan projek di bawah program Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) adalah cerminan komitmen tidak berbelah bahagi seluruh warga kerja KKR. Ini bukan sekadar tentang proses dalaman, tetapi tentang matlamat utama Kementerian: untuk memberikan perkhidmatan yang lebih pantas, telus, dan efisien kepada seluruh rakyat Malaysia.

KKR berbesar hati apabila usaha ini diangkat sebagai penanda aras. Ia menyemarakkan lagi semangat warganya untuk terus berinovasi dan menyokong sepenuhnya Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam 2024-2030 demi memodenkan perkhidmatan awam negara.

Kejayaan ini sudah tentunya tidak akan terlaksana tanpa dedikasi dan wawasan jitu daripada tulang belakang utamanya. Justeru, Kementerian dengan tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada para pegawai yang menjadi penggerak utama inisiatif ini, iaitu YBrs. Encik Eris Jenadi bin Tajudin, Encik Edriely bin Ibrahim, Encik Nik Kamil bin Nik Ramzi, dan Puan Sherilyn Emariza binti Sharifuddin.

Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, usaha reformasi ini adalah bukti kesungguhan KKR dalam membina sebuah pentadbiran yang berteraskan ketelusan, kecekapan, dan kepercayaan. Dengan mempermudah urusan, langkah ini bukan sahaja meningkatkan kualiti penyampaian, tetapi juga membina keyakinan rakyat dan bersama-sama memacu produktiviti serta daya saing negara ke tahap yang lebih unggul.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3