BAHAGIAN PENGURUSAN SUMBER MANUSIA KKR JAYAKAN PROGRAM TRANSFORMASI MINDA SIRI 4/2025 DI LANGKAWI
LANGKAWI - Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Kerja Raya telah menganjurkan Program Transformasi Minda (PTM) Siri 4 Tahun 2025 bertempat di Institut Pengurusan Peladang, Langkawi. Program ini telah melibatkan seramai 39 orang peserta dalam kalangan pegawai lantikan baharu dari pelbagai skim perkhidmatan.
Pengisian program merangkumi segmen-segmen ceramah khusus berkaitan peranan dan kemudahan penjawat awam, aktiviti Latihan Dinamik Kumpulan (LDK) dan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Buat julung kalinya, program CSR pada kali ini telah dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Pertubuhan Komuniti Anak Tempatan (PEKAT) melalui pelaksanaan program penanaman sebanyak 100 anak pokok bakau di Kampung Tepi Laut, Pulau Tuba pada 17 Ogos 2025 (Ahad).
Penganjuran program penanaman anak pokok bakau ini merupakan salah satu usaha dalam mendukung nilai kemampanan di bawah gagasan Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan yang seimbang antara manusia dan alam serta memastikan kesejahteraan generasi kini dan akan datang terpelihara.
Diharapkan pelaksanaan program ini dapat menjadi titik permulaan kepada usaha berterusan kita dalam memulihara alam sekitar selain menyemai kesedaran dan rasa tanggungjawab agar generasi akan datang dapat mewarisi persekitaran yang lestari dan seimbang, selaras dengan aspirasi kemampanan dalam Malaysia MADANI.
Selamat maju jaya diucapkan kepada semua para peserta dan terima kasih kepada pihak LADA dan PEKAT atas kesudian berkerjasama menjayakan program CSR pada kali ini.
- Log in to post comments