HARI MALAYSIA 2025: PERPADUAN DIPERKUKUH, EKONOMI DIJULANG DENGAN TATA KELOLA YANG BAIK
BUTTERWORTH – Lebih 10,000 pengunjung hadir memeriahkan Sambutan Hari Malaysia 2025 di PICCA Convention Centre @ Butterworth Arena, yang berlangsung dengan penuh warna-warni di bawah tema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”.
Acara dimulakan dengan persembahan kebudayaan “Rentak Tradisi Pulau Mutiara” yang menampilkan keunikan seni dan budaya negeri Pulau Pinang.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli bin Ngah Talib, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, diiringi oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Premier Sarawak dan YB Datuk Ir. Shahelmey bin Yahya, Timbalan Ketua Menteri Sabah. Sambutan turut diserikan dengan upacara menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2025, memotong kek Hari Malaysia ke-62 serta penyampaian hadiah utama Gerakan Bersama Malaysiaku oleh YAB Perdana Menteri kepada tiga pemenang bertuah.
Turut hadir menyerikan majlis ini ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim.
Sambutan terus disemarakkan dengan persembahan khas “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” oleh Orkestra Tradisional Malaysia Istana Budaya bersama artis tanah air serta tarian pelbagai etnik, sebelum tirai acara ditutup dengan pertunjukan bunga api.
Pelbagai aktiviti turut diadakan, antaranya pameran “Menelusuri Zaman”, galeri foto, Kempen Internet Selamat, pertandingan mewarna keluarga, kuiz interaktif serta deretan trak makanan yang menjadi tumpuan pengunjung.
Sambutan Hari Malaysia 2025 membuktikan semangat segulai sejalai, sehati sejiwa terus subur dalam kalangan rakyat, seiring aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan, perpaduan dan keharmonian.
- Log in to post comments