JAMBATAN PATAU-PATAU 1 BERI AKSES LEBIH SELAMAT & SELESA UNTUK KOMUNITI
LABUAN – YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya hari ini telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Naiktaraf Jambatan Patau-Patau 1, yang berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual asal oleh Jabatan Kerja Raya Wilayah Persekutuan Labuan.
Projek ini bermula pada Oktober 2023 dan siap 258 hari lebih awal daripada jadual asal Mac 2026. Jambatan ini penting kerana menjadi nadi perhubungan utama kepada lebih 1,620 penduduk Kampung Air Patau-Patau 1, penempatan air tradisional yang unik di Labuan.
Dengan kos RM11.1 juta, projek ini melibatkan pembaikan struktur sepanjang 4 kilometer serta penggunaan teknologi moden Ultra High Performance Concrete (UHPC) yang menjadikan jambatan lebih kukuh dan cepat siap.
Projek yang dijalankan di kawasan aktif ini tetap memberi jaminan keselamatan dan kelancaran kepada penduduk, hasil pengurusan rapi serta komunikasi berkesan.
Kejayaan ini tercapai melalui kerjasama erat JKR, Perbadanan Labuan, kontraktor, Ketua Kampung dan komuniti setempat.
KKR yakin dengan siapnya jambatan ini, penduduk Labuan kini boleh menikmati laluan yang lebih selamat, selesa dan efisien, sekali gus merangsang ekonomi tempatan dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
KKR juga menegaskan bahawa kejayaan ini membuktikan aspirasi Malaysia MADANI dapat direalisasikan melalui pembangunan yang berasaskan amanah, kecekapan dan kesejahteraan rakyat.
Setiap projek dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab untuk memastikan ia siap lebih awal, berkualiti tinggi dan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Pembangunan) Jabatan Wilayah Persekutuan, YBhg. Datuk Ramlee Yatim ;
Pengerusi Perbadanan Labuan, Ybhg. Dato' Mohd Husni Mohamad Salleh ;
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, YBrs. Encik Mohd Sukuran Taib ;
Ketua Projek, merangkap Pengarah Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan Ibu Pejabat JKR, YBrs. Puan Ir. Waznah Abdul Azid ;
Pengarah JKR Wilayah Persekutuan Labuan, YBrs. Tuan Ir. Haji Mohd Faizul Mohd Ali Hanafiah serta
WPP Utama, YBrs. Encik Marzaidi Muhamad Misman.
- Log in to post comments