MALAYSIA HANTAR 37 PESERTA SERTAI WORLDSKILLS ASEAN MANILA 2025 | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

MALAYSIA HANTAR 37 PESERTA SERTAI WORLDSKILLS ASEAN MANILA 2025

SEPANG – Malaysia terus memperkukuh penglibatan dalam pertandingan kemahiran peringkat serantau apabila menghantar 37 peserta untuk mewakili negara ke Pertandingan WorldSkills ASEAN Manila 2025 yang akan berlangsung di World Trade Center, Pasay City, Manila, Filipina dari 26 hingga 28 Ogos ini.

Majlis Penyampaian Amanat dan Perlepasan Kontinjen Negara telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Abdul Rahman bin Mohamad. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Ahmad Maslan yang bertindak sebagai Deputy Chef de Mission kontinjen Malaysia serta YBhg. Dato’ Mohd Sakeri Abdul Kadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Dasar dan Pembangunan), Kementerian Kerja Raya. Kehadiran pimpinan ini menyerlahkan sokongan padu kerajaan dalam usaha melahirkan generasi muda yang berkemahiran tinggi.

WorldSkills ASEAN Manila 2025 bakal menghimpunkan seramai 253 peserta daripada negara-negara ASEAN yang akan bersaing dalam 32 bidang kemahiran. Kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 37 peserta akan bertanding dalam 23 bidang, meliputi pelbagai aspek kemahiran teknikal dan vokasional. Sejak penyertaan sulung pada 1995, Malaysia telah mengambil bahagian sebanyak 14 kali dan pencapaian terbaik negara direkodkan pada edisi Kuala Lumpur 2016 dengan meraih 22 pingat emas.

Dalam ucapannya, Abdul Rahman menegaskan penglibatan Malaysia bukan sekadar menguji kemahiran, tetapi juga sebagai wadah memperkukuh daya saing belia negara di persada antarabangsa. Beliau menekankan bahawa dunia pekerjaan masa kini tidak lagi hanya memerlukan kelulusan akademik semata-mata, sebaliknya menuntut kebolehan mengaplikasikan ilmu secara praktikal, kemahiran menyelesaikan masalah secara kreatif serta kebolehan beradaptasi dengan teknologi baharu. Katanya, TVET memainkan peranan penting dalam membentuk ekosistem pendidikan dan latihan yang dinamik, sekali gus memenuhi keperluan industri.

Beliau turut menyeru peserta untuk menjadikan pertandingan ini sebagai platform meningkatkan keyakinan diri serta peluang menonjolkan kebolehan di hadapan pakar-pakar antarabangsa. “Pertandingan WorldSkills ASEAN membuktikan bahawa kemahiran adalah bahasa sejagat yang menghubungkan individu dari pelbagai latar budaya serta menjadi jambatan kepada kerjasama ekonomi dan pembangunan masyarakat,” katanya.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5