KERAJAAN KOMITED SEMPURNAKAN PAN BORNEO SARAWAK - VIADUCT BUKIT SONG HAMPIR SIAP | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

KERAJAAN KOMITED SEMPURNAKAN PAN BORNEO SARAWAK - VIADUCT BUKIT SONG HAMPIR SIAP

MIRI - Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi menegaskan komitmen kerajaan untuk menyempurnakan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak, khususnya bagi Pakej WPC 11, agar manfaatnya dapat dinikmati rakyat secepat mungkin. Menurut beliau, semua kerja dilaksanakan dengan pemantauan rapi bagi memastikan ia mengikut spesifikasi serta jadual yang ditetapkan.

Bagi Pakej WPC 11, dua komponen utama kini menjadi fokus iaitu pembinaan Viaduct Bukit Song sepanjang 300 meter serta kerja menaik taraf jalan sepanjang 4.2 kilometer. YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, Viaduct Bukit Song kini telah mencapai 98 peratus kemajuan fizikal dan dijangka siap menjelang Oktober 2025. Keputusan membina viaduct ini dibuat kerana keadaan tanah di kawasan berkenaan tidak sesuai untuk tambakan, sekali gus menjadikan penyelesaian ini lebih stabil dan selamat untuk jangka panjang.

Sementara itu, kerja menaik taraf jalan 4.2 kilometer hanya boleh dimulakan selepas proses penukaran paip air LAKU dilaksanakan. Menteri menjelaskan, langkah ini penting bagi memastikan bekalan air ke bandar Miri tidak terganggu serta mengelakkan kerosakan jalan pada masa hadapan. Justeru, kerja penukaran paip baharu dan naik taraf jalan tersebut akan dilaksanakan secara berfasa bermula suku kedua 2026, dengan tempoh pelaksanaan dijangka mengambil masa 24 bulan.

Walaupun berlaku sedikit kelewatan dalam jadual asal, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi menegaskan bahawa langkah ini adalah wajar demi kepentingan rakyat. Katanya, usaha libat urus berterusan antara pihak projek dan kontraktor akan diperkukuh, dengan pemantauan berkala bagi memastikan keseluruhan Pakej WPC 11 dapat disiapkan mengikut jadual baharu serta memberi manfaat optimum kepada rakyat Sarawak.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
0
0
0
0
0
0
0
0
0
0
0