PENYERAHAN PROJEK SIAP PEMBINAAN GANTIAN 12 BILIK DARJAH, LIMA (5) UNIT RUMAH GURU DAN LAIN-LAIN KEMUDAHAN DI SMK SRI SADONG, SIMUNJAN, SARAWAK.
SIMUNJAN – Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi menyaksikan Majlis Penyerahan Projek Siap Pembinaan Gantian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Sadong, Simunjan, Sarawak yang telah disiapkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia selaku Agensi Pelaksana kepada Kementerian Pelanggan iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Hadir sama Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Masyati Abang Ibrahim serta Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Sektor Infra, YBrs. Tuan Ir Mohd Shahrom Ahmad Saman.
Projek bernilai RM28.73 juta ini dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), JKR Malaysia di mana ianya telah dimulakan pada 17 Mac 2022 dan berjaya disiapkan pada tahun 2025.
Projek ini dilaksanakan secara Konvensional Perunding oleh kontraktor yang dilantik iaitu Welfield Services Sdn. Bhd. Antara skop utama projek melibatkan:
• Pembinaan satu blok akademik yang merangkumi 12 bilik darjah
• Bengkel elektrik/elektronik dan bengkel pembuatan
• Makmal komputer, makmal sains, makmal kimia, makmal biologi dan makmal fizik
• Bilik Pendidikan Khas (PPKI)
• Satu blok kantin
• Lima (5) unit rumah guru kelas F
• Pelbagai kemudahan sokongan lain
Pelaksanaan projek ini membuktikan usaha berterusan Kerajaan MADANI bagi meningkatkan ekosistem pembelajaran dan pengajaran negara melalui pembinaan infrastruktur pendidikan yang moden, berkualiti dan kondusif yang menyokong kecemerlangan pelajar.
Di samping itu, projek ini memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar dalam usaha mengurangkan jurang kualiti pendidikan antara bandar dan luar bandar.
- Log in to post comments