LAWATAN KERJA ke SK PEKAN LAHAD DATU, SABAH PROJEK GANTIAN 26 BILIK DARJAH, RUMAH GURU 4 UNIT DAN LAIN-LAIN KEMUDAHAN BERKAITAN
LAHAD DATU, SABAH – Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Hj. Ahmad bin Hj. Maslan telah turun padang dalam rangka lawatan tiga hari di Negeri Sabah dengan program pertamanya meninjau kemajuan pelaksanaan projek Sekolah Daif Sabah (2020) di Sekolah Kebangsaan Pekan Lahad Datu, Sabah.
Projek bernilai RM29.00 juta ini merangkumi gantian 26 bilik darjah (Bangunan Akademik), pembinaan 4 unit rumah guru (kelas F), Bangunan Pentadbiran serta pelbagai kemudahan lain seperti tandas, tangki air dan pelbagai kemudahan asas lain mengikut piawaian terkini. Projek ini telah dimulakan pada 5 April 2022 dengan kemajuan fizikal semasa ialah 35% dan dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2026 bagi menggantikan bangunan lama yang telah uzur serta tidak lagi sesuai digunakan.
Ianya dilaksanakan secara reka bentuk konvensional (Perunding) di mana Syarikat Pembinaan Bumi Daya Sdn. Bhd. Telah dilantik sebagai kontraktor utama, manakala Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) bertindak sebagai agensi pelaksana projek.
Sekolah Kebangsaan Pekan Lahad Datu yang telah didirikan sejak tahun 1937 merupakan antara sekolah tertua di daerah ini. Sekolah ini beroperasi dalam dua sesi pembelajaran dengan menampung lebih dari 1,900 orang murid, dengan tenaga pengajar seramai 119 orang guru serta 19 orang kakitangan sokongan.
Antara objektif utama projek ini adalah untuk menyediakan bangunan baharu yang lebih kondusif, selesa dan selamat serta berkeupayaan meningkatkan ekosistem pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan prestasi pelajar.
Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap pihak JKR terus memantau rapi kemajuan projek ini dan sentiasa bekerjasama dengan pihak kontraktor serta melakukan libat urus dan pemeriksaan yang berterusan supaya ianya dapat disiapkan mengikut masa, kos dan kualiti yang ditetapkan bagi mempercepatkan manfaatnya kepada komuniti setempat, khususnya murid-murid dan warga pendidik SK Pekan Lahad Datu
- Log in to post comments