SURAT SETUJU TERIMA (SST) MENANDAKAN PROJEK PEMBINAAN KAMPUS BAHARU KOLEJ PROFESIONAL MARA (KPM) KAPIT, SARAWAK BERMULA
KAPIT – Menteri Kerja Raya Malaysia, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, yang juga Ahli Parlimen Kapit P.215 menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi Projek Pembinaan Kampus Baharu Kolej Profesional MARA (KPM) Kapit, bertempat di Dewan Suarah Kapit.
Turut hadir Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Datuk Wira Ir Roslan Ismail, serta pegawai-pegawai kanan dari Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kementerian Kerja Raya (KKR) dan JKR Malaysia.
Kontraktor yang terpilih adalah syarikat Wangi Marine Services Sdn Bhd dan dilaksanakan secara Kontrak Reka dan Bina.
Skop projek meliputi kerja-kerja pembinaan Blok Pentadbiran, Blok Akademik, Blok Perpustakaan, Pusat Pelajar, Kafetaria, Asrama Lelaki dan Perempuan, sembilan (9) unit Kuarters Warden (kelas D, E dan G), dan kerja-kerja infrastruktur sokongan lain. Kontrak yang berjumlah sekitar RM79 juta ini dijangka akan disiapkan pada 5 Disember 2029.
Pembinaan Kolej Profesional MARA bila siap kelak boleh menampung sehingga 300 orang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terutama dari luar bandar bagi mengikuti program Diploma in Business Studies, Diploma in Plantation Management dan Diploma in Information Technology.
Ia juga bertujuan untuk menyediakan pusat pendidikan di kawasan luar bandar bagi melahirkan tenaga kerja profesional, berkemahiran dan berpendapatan tinggi selaras dengan keperluan industri negara
Tapak cadangan terletak di atas tanah Lot 15 Seksyen 22 (Ibau Land) berkeluasan 49.4 ekar 15km dari Pekan Kapit dan 167km dari bandar Sibu.
Lokasi tersebut dipilih untuk membuka ruang kepada anak-anak luar bandar terutama dari sekitar daerah Kapit atau kawasan lain di Sarawak dan Sabah untuk melanjutkan pelajaran mereka sehingga ke peringkat diploma dalam bidang profesional.
Usai majlis penyerahan tersebut, YB Menteri Kerja Raya bersama Ketua Pengarah Kerja Raya turut hadir memeriahkan sambutan Majlis Rumah Terbuka Gawai Peringkat Daerah Kapit di dewan sama.
- Log in to post comments