KURSUS ESG DALAM PROJEK INFRASTRUKTUR JALAN: PENGUKUHAN NILAI MADANI UNTUK PEMBANGUNAN LESTARI
KUALA LANGAT - Bahagian Perancang Jalan (BPJ) Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menganjurkan Kursus Environment, Social and Governance (ESG) dalam Projek Infrastruktur Jalan: Strategi dan Pelaksanaan bersama Agensi di bawah KKR, yang berlangsung di KKR serta di Gamuda Cove dan Paya Indah Wetland, Tanjung 12, Kuala Langat, Selangor, dari 20 Mei hingga 21 Mei 2025
Kursus ini telah menghimpunkan seramai 60 orang peserta yang terdiri daripada wakil Bahagian Dasar dan Antarabangsa (BDA), Bahagian Pembangunan dan Penswastaan (BPP), wakil-wakil Pengurusan Projek dan Rekabentuk Jalan dari Ibu Pejabat JKR, wakil JKR negeri-negeri serta rakan kerjasama strategik dari World Wildlife Fund (WWF) Malaysia.
Matlamat utama kursus ini adalah untuk memperkukuh kefahaman pegawai mengenai isu-isu alam sekitar dalam konteks pembangunan infrastruktur serta memperluas pengetahuan berkaitan pelaksanaan prinsip Environment, Social and Governance (ESG). Pendekatan ini sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI, yang menekankan pembangunan berteraskan kemampanan, integriti dan keprihatinan sosial.
Kursus ini turut mengetengahkan kaedah pelaksanaan rangka kerja ESG secara praktikal dan kos efektif, agar prinsip-prinsip ini dapat diintegrasikan sepenuhnya dalam operasi harian kementerian dan agensi di bawahnya. Hal ini secara langsung menyokong usaha negara ke arah pembangunan yang lebih holistik dan bertanggungjawab.
Antara fokus penting kursus ini ialah aspek pembangunan di kawasan tanah lembut seperti hutan paya gambut. Perbincangan dan perkongsian ilmu turut menekankan kaedah rawatan tanah sebelum pembangunan serta kepentingan memelihara biodiversiti dan ekosistem. Pendekatan ini mencerminkan komitmen KKR terhadap pembangunan lestari dan mesra alam, sejajar dengan semangat hormat kepada alam serta tanggungjawab terhadap generasi akan datang.
Sebagai pelengkap kepada pengisian ilmiah, peserta telah dibawa menyertai sesi pembelajaran lapangan di tapak pembinaan Gamuda Cove serta kawasan pemuliharaan Paya Indah Wetland, memberi peluang kepada peserta untuk menyaksikan sendiri aplikasi praktikal prinsip ESG di lapangan.
Dengan penganjuran kursus ini, Kementerian Kerja Raya terus komited untuk memacu transformasi dalam pembangunan infrastruktur negara, berlandaskan nilai-nilai MADANI yang mencerminkan kemajuan dengan jiwa.
- Log in to post comments