MESYUARAT DAN TINJAUAN PELAKSANAAN PROJEK MENAIK TARAF JALAN DONGGONGGON - TAMBUNAN, SABAH
PENAMPANG, SABAH - Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim telah hadir mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Projek Menaik Taraf Jalan Donggonggon - Tambunan dari persimpangan ITCC ke persimpangan Jalan Datuk Panglima Banting, Penampang, Sabah di Pejabat JKR Penampang.
Turut hadir, Setiausaha Bahagian Pembangunan dan Penswastaan, YBrs. En Eris Jemadi bin Tajudin, Setiausaha Bahagian Perancang Jalan YBrs. Ir Mohd Fairuz bin Mamat@Muhamad, Pengarah Bahagian Pengurusan Nilai Kementerian Ekonomi, YBrs. Ir. Ts. Anita Mohammad Shafie, Timbalan pengarah Bahagian Pengurusan Nilai Kementerian Ekonomi, YBrs. En Robert Anak Albert Girik, Jurutera Daerah Penampang, YBrs. En Raynner Joseph@Gregory dan pegawai-pegawai JKR Sabah dan kontraktor.
Mesyuarat dan tinjauan ke tapak projek ini diadakan khusus bagi memuktamadkan keluasan tanah serta struktur yang terlibat sepanjang jajaran jalan. Dalam masa yang sama, Pejabat JKR Sabah turut digesa untuk mengkaji semula dan mengoptimumkan reka bentuk asal projek bagi memastikan pelaksanaannya dapat diteruskan meskipun berdepan pelbagai kekangan di tapak.
Antara kerja-kerja yang sedang giat dijalankan di tapak termasuklah pembinaan parit jalan, kerja-kerja pengorekan cerucuk, serta pembinaan Monumen Sigah di lokasi baharu. Walaupun terdapat beberapa kekangan, khususnya berkaitan isu pengambilan tanah yang masih belum selesai, kemajuan projek tetap berjalan lancar. Sehingga bulan April, kemajuan keseluruhan projek telah mencapai 13.94%.
Projek menaik taraf Jalan Donggonggon – Tambunan merupakan antara inisiatif strategik Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya dalam memperkukuh sistem jaringan jalan raya di Sabah. Pelaksanaan projek ini bukan sahaja akan mempertingkatkan tahap kesalinghubungan antara kawasan bandar dan luar bandar, malah dijangka memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi setempat, khususnya dalam sektor pelancongan, pertanian dan perniagaan tempatan.
Sejajar dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan nilai-nilai kemampanan, kemakmuran dan kesejahteraan, usaha berterusan untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek ini mencerminkan iltizam kerajaan dalam menyediakan infrastruktur yang holistik dan berdaya tahan demi manfaat jangka panjang kepada rakyat. Sokongan padu daripada agensi pelaksana, pihak berkuasa tempatan dan semua pihak berkepentingan amat penting dalam memastikan kejayaan projek ini.
Kementerian Kerja Raya akan terus komited dalam menyelaras dan memantau pelaksanaan projek-projek infrastruktur secara menyeluruh di Sabah agar ia dapat dilaksanakan dengan cekap, berkesan dan memberi pulangan optimum kepada rakyat serta negara.
- Log in to post comments