MENTERI KERJA RAYA MENJELAJAH KE NEGERI PERLIS
PERLIS, 3 MEI 2025 – Menteri Kerja Raya, YB. Dato Sri Alexander Nanta Linggi meluangkan masa untuk menjelajah Negeri Perlis – dari Arau ke Padang Besar dan Kangar – sebagai sebahagian daripada program #MADANIBekerja, bagi meninjau secara langsung kemajuan pelaksanaan beberapa projek infrastruktur utama termasuk jalan raya, jambatan dan bangunan awam.
2. Beliau telah memulakan tinjauan kerja ke ICQS Bukit Kayu Hitam bagi melihat perkembangan pelaksanaan projek infrastruktur di sana sebelum meneruskan tinjauan ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk melihat kemajuan tiga projek utama yang sedang giat dibangunkan:
2.1. Projek Pembinaan Masjid dan Pusat Islam UniMAP Projek bernilai RM32.68 juta ini yang bakal menjadi antara mercu tanda baharu UniMAP, telah mencatat kemajuan sebanyak 58.37% setakat 18 April 2025. Projek ini dijadualkan siap pada Ogos 2025.
2.2. Projek Pembinaan Dewan Besar UniMAP Projek ini telah mencapai tahap kemajuan 80.03% sehingga 14 April 2025 dan dijangka siap pada Julai 2025. Projek bernilai RM12.6 juta ini dijangka siap pada Julai 2025. Dengan adanya dewan ini kelak, UniMAP tidak lagi perlu untuk menyewa fasiliti dari pihak luar bagi acara dan majlis seperti peperiksaan dan Istiadat Konvokesyen serta dapat menjimatkan kos sewaan dan pengangkutan yang dianggarkan sebanyak RM1.07 juta setahun.
2.3. Projek Pembinaan Pusat Pengajian Kejuruteraan UniMAP Dimulakan pada 4 September 2023 dengan kos keseluruhan sebanyak RM71.56 juta, projek ini kini telah mencapai kemajuan 30.95% dan dijangka siap pada Oktober 2026.
3. Jelajah Perlis ini turut meninjau beberapa projek jalan raya sebagai sebahagian dari Aspirasi Program MYJalan yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 23 Ogos 2023. Ini selaras dengan 2 Nilai Teras Malaysia MADANI iaitu KESEJAHTERAAN dan KEMAMPANAN yang memfokuskan kepada meningkatkan keterhubungan, mobiliti dan aksesibiliti rakyat melalui jaringan jalan raya persekutuan yang berkualiti, selamat dan selesa.
4. Projek Membina Jalan Raya dari Kg Chuping Bawah Bukit ke Kg Guar Musang dan Panggas Besar, Perlis kini mencapai kemajuan kerja 91.96 %. Projek bernilai RM44 juta ini dimulakan pada 1 Julai 2021 dan dijangka siap untuk digunakan pada Julai 2025. Skop projek ini merangkumi pembinaan jalan sepanjang 3 kilometer mengikut piawaian JKR R2, pembinaan sebuah jambatan, pemasangan lampu jalan, pengalihan utiliti dan pengambilan balik tanah.
5. Kerajaan MADANI melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) komited untuk merancakkan pembangunan infrastruktur di Negeri Perlis meliputi kawasan bandar dan luar bandar agar tiada rakyat yang terpinggir selari dengan slogan ‘Komited demi Kesejahteraan Rakyat’. Saya telah mengarahkan pihak pengurus projek, JKR Malaysia, JKR Negeri dan kontraktor yang dilantik berganding bahu mempertajam aspek pengurusan projek dalam meningkatkan sinergi dan prestasi kerja agar projek ini dapat disiapkan mengikut spesifikasi kualiti, kos dan masa selari dengan Aspirasi Program MYJalan dan Amanat Saya di Tahun 2025 iaitu Ke arah Sifar Projek Sakit.
- Log in to post comments