568 WARGA SK BATU PUTIH BARU BAKAL TERIMA MANFAAT PROJEK NAIK TARAF SEKOLAH DAIF
KUCHING, 12 FEBRUARI 2025 - Selari dengan agenda reformasi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu meningkatkan tahap kualiti pendidikan Negara, Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana sentiasa komited menyokong usaha ini melalui aspek pembangunan infrastruktur pendidikan.
Pelaksanaan projek-projek pendidikan khususnya Program Sekolah Daif bertujuan untuk menyediakan kemudahan yang lebih sempurna, selesa, serta mewujudkan suasana persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang kondusif dan selamat kepada warga sekolah.
Menteri Kerja Raya menyaksikan Penyerahan Surat Setuju Terima bagi salah satu program Projek Sekolah Daif Sabah (2023) iaitu Pembinaan Semula Bangunan Daif Sekolah Kebangsaan Batu Putih Baru, Sandakan, Sabah (Reka dan Bina) kepada Eastbourne Corporation Berhad dengan kos kontrak yang dipersetujui berjumlah RM43.891juta.
Tempoh pembinaan projek ini adalah selama 217 minggu dan dijadualkan siap pada April 2029 dimana Tarikh Siap Projek (CPC) ini telah mengambilkira penyiapan sebahagian (Sectional Completion) yang telah disesuaikan dengan skop projek yang diluluskan.
Skop pembinaan projek yang telah diluluskan oleh pihak KPM dan Kementerian Ekonomi ialah:
i. Perobohan blok-blok sekolah yang telah daif dan uzur yang berskala 6 hingga 7.
ii. Membina blok Akademik 18 Bilik Darjah, Blok Pentadbiran, Blok Pra-Sekolah, Kantin serta Lain-Lain Kemudahan, dan;
iii. Menaik taraf tiga blok sekolah sedia ada bertujuan menyediakan fasiliti dan kemudahan prasarana sekolah yang selamat, selesa dan kondusif kepada seramai 43 orang guru, 5 orang kakitangan dan 520 orang murid.
Bagi mempercepatkan fasa pembinaan semula bangunan Sekolah Daif ini, ia akan menggunakan teknologi Industrialised Building System (IBS) serta mengadaptasi penggunaan Building Information Modelling (BIM) sepertimana yang telah ditetapkan didalam kontrak. Projek ini juga telah melalui proses Makmal Pengurusan Nilai dengan kerjasama KPM dan JKR yang turut melibatkan pelbagai pihak termasuk Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah serta ‘end user’ iaitu pihak sekolah.
Melalui Peruntukan dibawah Rancangan Malaysia Ke-12, Cawangan Kerja Pendidikan, JKR Malaysia telah diamanahkan untuk melaksanakan sebanyak 92 projek-projek KPM di Negeri Sabah dan 36 projek di Negeri Sarawak. Kerjasama rentas kementerian dan agensi yang telah terjalin ini mempunyai matlamat yang sama iaitu memberikan prasarana pendidikan yang terbaik untuk rakyat terutama di Negeri Sarawak dan Sabah.
KKR berharap agar pihak kontraktor yang dilantik dapat memberikan penekanan terhadap tanggungjawab untuk merealisasikan apa yang disyaratkan oleh Kerajaan didalam kontrak mengikut masa, kos dan kualiti yang ditetapkan serta mengutamakan aspek keselamatan di kawasan tempat kerja. JKR Malaysia diminta untuk memantau kualiti kerja serta menilai prestasi kontraktor demi manfaat dan kesejahteraan kepada Rakyat MADANI.
- Log in to post comments