KKR TERUSKAN KOMITMEN PENYENGGARAAN CERUN 2025 DEMI KELANGSUNGAN JARINGAN PERHUBUNGAN JALAN RAYA
KUALA LUMPUR, 21 JANUARI 2025 - Kementerian Kerja Raya (KKR) prihatin dan komited menguruskan secara mapan cerun-cerun di sepanjang Jalan Persekutuan bagi meminimumkan risiko kejadian cerun runtuh pada setiap kali monsun melanda. KKR sedar penutupan jalan yang kerap akibat kejadian cerun runtuh juga menyusahkan rakyat serta boleh menjejaskan aktiviti ekonomi dan perniagaan.
Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Arahan Kerja Projek Penyenggaraan Cerun di Jalan Persekutuan, Semenanjung Malaysia bagi tahun 2025 bertempat di Bilik Tanjung, Aras 6, Blok A, Kompleks Kerja Raya.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), YBhg. Dato' Zainal Alhakab Seman, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan), YBhg. Dato' Mohd Sakeri Abdul Kadir, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, YBhg. Datuk Wira Ir. Roslan Ismail serta Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), YBrs. Ir. Mohd Shahrom Ahmad Saman.
KKR pada tahun ini telah menerima peruntukan kewangan daripada Kerajaan sebanyak RM93.374 juta di bawah peruntukan pembangunan P27 KKR bagi kerja-kerja penyenggaraan cerun di Semenanjung Malaysia, termasuk pelaksanaan kerja-kerja bersifat preventif. Peruntukan kewangan ini melibatkan skop kerja-kerja penyelenggaraan berikut:
(a) sebanyak 50 lokasi kerja-kerja pembaikan cerun baharu yang dikenal pasti akan dipulihkan menerusi Arahan Kerja (AK) dengan kos RM59.885 juta;
(b) kerja-kerja sambungan penyenggaraan sedia ada akan diteruskan di 29 lokasi dengan anggaran kos sebanyak RM29.233 juta; dan
(c) sebanyak RM4.255 juta juga diperuntukkan untuk kerja-kerja menaik taraf sistem amaran awal tanah runtuh, kerja pengumpulan data dan pengemaskinian peta bahaya risiko cerun.
Syarikat Pintas Utama Sdn. Bhd. merupakan kontraktor yang telah dilantik bagi membantu Kerajaan melaksanakan kerja-kerja pembaikan cerun berdasarkan keperluan dan kelulusan oleh KKR.
Kontrak kerja-kerja penyenggaraan ini telah berkuat kuasa mulai Januari 2022 dan akan tamat pada Januari 2028. Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia pula terus dipertanggungjawabkan sebagai Pengarah Projek untuk merancang, mengurus dan menyelia kerja-kerja penyenggaraan cerun di sepanjang Jalan Persekutuan, Semenanjung Malaysia
Secara prinsipnya, pelaksanaan kontrak jangka panjang bagi kerja-kerja penyenggaraan cerun ini mencerminkan keprihatinan dan komitmen Kerajaan MADANI serta iltizam KKR untuk terus menambah baik kualiti infrastuktur jalan raya termasuk cerun-cerun demi keselesaan dan keselamatan pengguna.
Menerusi pendekatan baharu ini, kerja-kerja pemantauan cerun, penyenggaraan serta pembaikan cerun yang kritikal dapat ditangani dengan pantas berbanding dengan pelaksanaan proses perolehan biasa.
KKR berharap pihak kontraktor terus memacu prestasi dan komited untuk menyiapkan arahan kerja pembaikan cerun dengan menggunakan kaedah atau teknologi terkini, mengikut piawaian ESG dan menyiapkannya dalam tempoh masa ditetapkan atau lebih awal. KKR pula komited untuk memastikan rakyat terus mendapat akses rangkaian jalan raya persekutuan yang berkualiti, selamat dan selesa.
- Log in to post comments