Pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Diteruskan Dengan Pakej Kerja Fasa 1B
Kota Kinabalu, 04 Oktober 2024 – Kementerian Kerja Raya (KKR) terus komited dalam memastikan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah dilaksanakan sepertimana dirancang bertujuan untuk memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya dengan menambahbaik jaringan infrastruktur jalan raya Persekutuan di Sabah.
Lantaran itu, Surat Setuju Terima (SST) untuk Pakej Kerja Fasa 1B telah diserahkan kepada 13 kontraktor dalam satu majlis yang disempurnakan oleh YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya Malaysia. Turut hadir bersama dalam majlis tersebut adalah YB Datuk Shahelmey bin Yahya, Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Kerja Raya Sabah.
Untuk makluman, Fasa 1B telah dipecahkan kepada 19 Pakej Kerja daripada keseluruhan 35 Pakej Kerja untuk LPB Sabah Fasa 1. Skop projek yang terlibat adalah pembinaan Jalan Persekutuan baharu dari Kota Belud ke Kudat serta penambahbaikan Jalan Persekutuan dari Ranau ke Lahad Datu sepanjang 370 kilometer.
Tempoh pembinaan bagi Pakej Kerja Fasa 1B ini adalah di antara 36 sehingga 48 bulan dan kos pembangunan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan dengan peruntukan berjumlah RM13.989 bilion. Pakej Kerja Fasa 1B akan dilaksanakan seperti berikut:
a) Jajaran North West: Pakej Kerja 11 - 14 (Kota Belud ke Kudat);
b) Jajaran South East: Pakej Kerja 16 - 20 (Tawau ke Lahad Datu);
c) Jajaran North East: Pakej Kerja 22 - 26 (Lahad Datu ke Sandakan); dan
d) Jajaran Central: Pakej Kerja 31 - 35 (Telupid ke Ranau).
Projek LPB Sabah adalah projek berimpak tinggi yang merupakan projek keutamaan KKR di mana projek ini dapat memberikan limpahan manfaat kepada rakyat sepenuhnya. Ini sekaligus menjadi pemangkin positif dan lonjakan baru kepada demografi sosio ekonomi rakyat Sabah menerusi mod jaringan jalan raya yang lebih efisien, selesa dan selamat.
Projek ini juga mampu mencetuskan revolusi kepada pembangunan kawasan-kawasan yang berpotensi tinggi di sepanjang jajaran tersebut, khususnya untuk sektor pertanian, eko-pelancongan dan perindustrian.
KKR berharap agar semua kontraktor yang dilantik akan memberikan penekanan kepada aspek mutu kualiti terutamanya dari segi pematuhan spesifikasi piawai, kos dan masa yang ditetapkan, serta mengutamakan aspek keselamatan di kawasan tempat kerja. KKR melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah akan memantau kualiti kerja serta menilai prestasi setiap kontraktor dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya sentiasa diutamakan selaras dengan hasrat Program MYJalan KKR.
- Log in to post comments