Majlis Serahan Projek Siap Pembaikan Cerun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit
Kapit, Sarawak, 30 September 2024 - YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen P.215 Kapit hari ini telah menyempurnakan majlis penyerahan Projek Pembaikan Cerun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit Sarawak. Projek ini telah siap pembinaannya oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Kapit, JKR Sarawak selaku agensi pelaksana di mana Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah Kementerian Pelanggan.
Pada awal Mac 2020, telah berlaku kejadian runtuhan cerun di kawasan parkir berhadapan kuarters IPD Kapit. Runtuhan tersebut berpunca daripada hujan lebat yang berterusan selama seminggu telah menyebabkan hakisan tanah yang teruk. Unit Perancang Ekonomi pada 12 Ogos 2021 telah meluluskan permohonan peruntukan bagi kerja-kerja pembaikan cerun tersebut.
Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC), JKR Malaysia telah diamanahkan untuk mengendalikan pelaksanaan projek ini. Reka bentuk projek ini disediakan secara konvensional dalaman dan kaedah cerucuk besi (steel sheet pile) telah dipilih untuk digunakan bagi projek ini.
Kerja-kerja awalan seperti kerja ukur dan penyiasatan serta kajian tanah telah dilaksanakan pada tahun 2022. Seterusnya, kerja-kerja pembinaan telah dimulakan oleh pihak kontraktor yang dilantik pada 24 November 2023 dan telah siap sepenuhnya pada 22 Ogos 2024 tanpa lanjutan masa (Extention of Time atau EOT) dengan kontrak bernilai RM1.4juta.
- Log in to post comments