Tinjauan Kerja Timbalan Menteri Kerja Raya ke Taman Perindustrian IBS di Machang
Machang, 16 Julai 2024 – Timbalan Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Datuk Seri Ahmad Maslan telah hadir melakukan lawatan kerja ke Taman Perindustrian IBS di Sungai Bagan, Machang, Kelantan. Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Sektor Kerajaan Negeri Kelantan, Yang Berusaha Encik Hafiz Che Mahmmood, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisas Negeri Kelantan, Yang Berusaha Ir. Hamdzah bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Eksekutif I (Operasi), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Yang Berusaha Haji Razuki Ibrahim dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Kelantan, Yang Berusaha Ir. Mohd Suhaili Ismail.
Dalam lawatan tersebut, Timbalan Menteri Kerja Raya turun memaklumkan Kementerian Kerja Raya (KKR) amat komited untuk memimpin perjalanan transformasi ini dan sedia untuk bekerjasama secara rapat dengan pihak berkepentingan dan rakan industri dalam merealisasikan pembangunan Taman Perindustrian IBS supaya ianya dapat mencapai matlamat untuk membina industri ke arah lebih progresif dan berpandangan jauh, selaras dengan visi Dasar Pembinaan Negara 2030.
Taman Perindustrian IBS di Sungai Bagan, Machang ini merupakan hasil kerjasama di antara CIDB dan Kerajaan Negeri Kelantan yang dimeterai pada Oktober 2021. Pembangunan Taman Perindustrian ini bertujuan untuk menyediakan keperluan jaringan ekosistem strategik IBS khususnya bekalan bahan binaan dan tenaga mahir khususnya di Wilayah Pantai Timur.
Sumber Foto : Facebook Jabatan Kerja Raya Negeri Kelantan
- Log in to post comments