Projek Pembinaan Hospital Pasir Gudang Dijangka Siap Lebih Awal Dari Jadual | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

Projek Pembinaan Hospital Pasir Gudang Dijangka Siap Lebih Awal Dari Jadual

Pasir Gudang, Johor Bahru, 13 Jun 2024 - YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya hari ini telah turun padang meninjau kemajuan kerja Projek Pembinaan Hospital Pasir Gudang, Johor Bahru.

Walaupun jarak kedudukannya hanya 19 kilometer (km) (28 minit)dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan 12km (15 minit) dari Hospital Sultan Ismail (HSI), tetapi pembinaan Hospital Pasir Gudang ini sangat diperlukan bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia Madani di Johor Bahru, Pasir Gudang dan kawasan sekitarnya yang telah mencecah 2,000,000 orang. Disamping meningkatkan kapasiti bagi mengurangkan kesesakan pesakit di dua (2) buah hospital kerajaan sedia ada. Hospital Pasir Gudang ini dijangkakan dilengkapi dengan fasiliti bertaraf dunia dalam pelbagai disiplin perubatan dan kesihatan.

 

Lokasi tapak pembinaan yang terletak di Bandar Seri Alam, Masai, Johor Bahru  ini terdiri daripada empat (4) lot tanah dengan keluasan 51.038 ekar telah diberi milikan tapak pada 15 September 2020 dan dijangka siap pada bulan Mac 2025. Apa yang membanggakan ialah projek pembinaan ini dikategorikan sebagai projek contoh kerana kemajuan kerjanya sehingga kini telah mendahului 60 hari lebih awal dari jadual asal, di mana dari segi peratusnya, kemajuan fizikal adalah 83.55% berbanding 72.50%.

 

Antara faktor yang menyumbang kepada kepantasan pelaksanaan projek ini adalah disebabkan penggunaan teknologi Building Information Modelling (BIM) dan Industrialised Builidng System (IBS) dalam perancangan dan pelaksanaan selain komitmen serta persefahaman yang tinggi yang ditunjukkan oleh pasukan kontraktor dan pasukan projek.

 

IBS Score bagi projek ini adalah 79% dan merupakan salah satu projek yang berjaya mendapat kelulusan dari Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB Malaysia) bagi tujuan penyediaan komponen IBS di tapak (sitecasting). Penggunaan teknologi IBS ini juga telah dapat mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja yangdihadapi ketika era Post Covid.

 

Projek yang dilaksanakan secara Reka & Bina ini melibatkan kos kontrak asal bernilai RM375.5juta mempunyai enam (6) skop kerja iaitu membina sebuah hospital bertaraf hospital pakar, kuaters Kelas G, asrama jururawat, bangunan Mekanikal & Elektrik (M&E), bangunan sokongan serta kerja-kerja infra. Secara terperinci, fasiliti ini terdiri daripada:

  • 304 katil

  • 14 perkhidmatan pakar

  • 8 bilik pembedahan

  • 65 bilik konsultasi (rawatan pesakit luar)

  • 30 kerusi dialisis

  • 16 bilik bersalin

  • 36-unit kuaters

  • 50-unit asrama jururawat

  • Lebih 1,000 ruang parkir

  • Farmasi pandu lalu

 

Projek ini turut mendapat perhatian Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail apabila Baginda turut mencemar duli bagi melihat perkembangan projek ini di tapak pada 25 Mac 2024 yang lalu.

 

Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap pasukan pembinaan meneruskan kecemerlangan dan dapat menyiapkan pembinaan ini lebih awal dari jadual serta menepati kualiti dan kos yang telah ditetapkan. KKR sangat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selaku kementerian pelanggan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana untuk menyiapkan infrastruktur kesihatan negara ini.

 

Pembinaan hospital ini menjadi bukti usaha serta komitmen Kerajaan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik seterusnya dapat meningkatkan taraf kesihatan rakyat Malaysia MADANI.

 

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
11
12