Cabutan Undi 184 Kerja Penyenggaraan Jalan Bernilai RM100.87 Juta Untuk Kontraktor Kecil Bumiputera G1-G4 Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

Cabutan Undi 184 Kerja Penyenggaraan Jalan Bernilai RM100.87 Juta Untuk Kontraktor Kecil Bumiputera G1-G4 Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan

Kuala Lumpur, 23 Mei 2024 - Yang Berhormat Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia hari ini telah menyaksikan seterusnya membuat cabutan undi bagi Zon Tengah/Timur bagi Program Mempercepatkan Penyenggaraan Jalan dengan Memanfaatkan Kontraktor Gred G1–G4 bagi Program Penyenggaraan Berkala Pavemen dan Berkala Bukan Pavemen di Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia Bagi Tahun 2024 yang melibatkan Negeri Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

 

Secara keseluruhannya, kelulusan bagi program ini bagi tahun 2024 adalah sebanyak RM200 juta melibatkan 337 lokasi pembaikan di seluruh Semenanjung Malaysia. Daripada jumlah tersebut, pelaksanaan kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan di Zon Tengah/Timur adalah melibatkan 184 lokasi pembaikan berkala pavemen dan berkala bukan pavemen dengan kos penyenggaraan sejumlah RM100.87 juta.

 

Program ini bertujuan untuk melantik kontraktor secara cabutan undi bagi melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan berkala pavemen dan bukan pavemen di 4 negeri tersebut melalui syarikat konsesi Roadcare (M) Sdn. Bhd yang telah dilantik sebagai pihak yang bertanggungjawab untuk menyenggara Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia di Zon Tengah/Timur. Pelaksanaan program penyenggaraan jalan terbahagi kepada dua kategori utama iaitu Berkala Pavemen dan Berkala Bukan Pavemen.

 

Kerja-kerja penyenggaraan jalan Berkala Pavemen melibatkan kerja pembaikan turapan dan struktur jalan yang rosak menggunakan pelbagai teknik yang bertepatan dengan jenis kerosakan seperti mill & pave, Cold in Place Recycling (CIPR), pembinaan semula struktur jalan (reconstruction) dan menurap semula turapan jalan. Manakala penyenggaraan Berkala Bukan Pavemen adalah melibatkan kerja-kerja pembaikan aset-aset jalan yang lain selain daripada struktur dan turapan jalan seperti mengecat garisan jalan, penyenggaraan jambatan, membaiki longkang, membaik pulih papan tanda, membaiki penghadang jalan dan sebagainya.

 

Sebanyak 58 kerja Berkala Pavemen bernilai RM77.7 juta ditawarkan dengan Selangor 14 kerja (RM22.64juta), Pahang 23 kerja (RM30.764juta), Terengganu 11 (RM11.096juta) kerja dan Kelantan 10 kerja (RM13.2juta). Manakala bagi Berkala Bukan  Pavemen,  sebanyak  126  kerja  berjumlah  RM23.17  juta  ditawarkan.

 

Pecahannya ialah Selangor 29 kerja (RM5juta), Pahang 45 kerja (RM8.26juta), Terengganu 19 kerja (RM2.76juta) dan Kelantan 33 kerja (RM7.15juta).

 

Kontraktor yang dilantik melalui cabutan undi ini adalah terdiri daripada kontraktor kecil Gred G1 hingga G4 yang berkelayakan dan berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sahaja. Selain daripada itu, kriteria penyenaraian kontraktor adalah mengikut had nilai kerja yang disenaraikan serta kontraktor tersebut mempunyai prestasi yang baik.

 

Pelawaan untuk kerja-kerja ini telah diiklankan melalui media sosial dan pendaftaran telah dilakukan secara atas talian (online) di laman sesawang Syarikat Roadcare. Sejumlah 7,741 penyertaan telah disenarai pendek daripada kesemua jumlah kontraktor berminat untuk menyertai tawaran iklan tersebut. Cabutan undi ini akan dikelolakan oleh Jawatankuasa Cabutan Undi (JCU) yang terdiri daripada pegawai syarikat Konsesi dan juga wakil kerajaan.

 

Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memantau kualiti kerja serta menilai prestasi setiap kontraktor dan penilaian tersebut akan dijadikan asas sama ada kontraktor berkenaan layak untuk dipertimbangkan dalam proses pemberian kerja di masa hadapan.

 

Timbalan Menteri Kerja Raya berharap supaya semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan program ini, memberikan penekanan kepada aspek mutu kualiti terutama dari segi kos dan masa dan mengutamakan keselamatan di kawasan kerja. Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui JKR tidak akan berkompromi terhadap isu-isu berkaitan kualiti pembinaan dan penyenggaraan dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya sentiasa diutamakan selaras dengan hasrat Program MYJalan KKR.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10