Tinjauan Pembaikan Cerun FT68 di Bentong, Pahang | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

Tinjauan Pembaikan Cerun FT68 di Bentong, Pahang

Bentong, Pahang, 17 Mei 2024 - Segmen kedua dari program turun padang YB Menteri Kerja Raya hari ini turut meninjau kemajuan kerja pembaikan cerun di jalan persekutuan FT68 Kuala Lumpur–Bentong. Pada 25 November 2023, satu kejadian runtuhan cerun dan kejadian pokok tumbang telah berlaku di beberapa lokasi di seksyen 40.00 – 48.00, Jalan Bentong Lama–Kuala Lumpur, Daerah Bentong, Pahang. Ini disebabkan oleh kejadian hujan lebat berterusan selama satu minggu yang menyebabkan aliran air permukaan yang tinggi dan hakisan pada permukaan cerun.

 

Akibatnya, laluan tersebut telah terputus hubungan serta tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan. Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Bentong telah menjalankan kerja pembersihan jalan bagi memastikan laluan tersebut boleh dilalui oleh pengguna jalan raya.

 

Pihak Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) JKR telah mengadakan lawatan tapak pada 27 November 2023 bagi mengenalpasti dan menilai impak runtuhan cerun serta kerja-kerja pembaikan yang diperlukan di sepanjang laluan tersebut. Permohonan peruntukan bagi kerja pembaikan cerun yang terlibat telah diangkat kepada pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) dan sebanyak tiga (3) lokasi telah diluluskan untuk dibaiki iaitu di Seksyen 47.40 (RM931 ribu), Seksyen 42.90 (RM3.12 juta) dan Seksyen 57.50 (RM1.96 juta) yang membawa jumlah keseluruhan bernilai RM6.011 juta.

 

Kerja-kerja pembaikan telah dimulakan pada Februari 2024 untuk Seksyen 47.40 dan Seksyen 42.90 dan dijangka siap pada Oktober 2024 manakala Seksyen 57.50 telah dimulakan pada April 2024 dan dijangka siap pada Januari 2025. Hasil tinjauan mendapati Seksyen 42.90 kini sudah 45% siap mendahului jadual (35%). Seksyen 47.40 pula telah disiapkan 18%, manakala Seksyen 57.50 baharu dimulakan dan telah menjangkau 8% kerja.

 

Semua kontraktor yang dilantik telah diberikan tanggungjawab dan amanah serta sentiasa diingatkan supaya terus tekun dalam pelaksanaan projek untuk memastikan bukan sahaja projek disiapkan mengikut jadual tetapi memenuhi spesifikasi dan kualiti yang ditetapkan. Prestasi dan kualiti kerja kontraktor akan dinilai dan direkodkan serta akan dijadikan asas dalam pertimbangan pemberian kerja di masa hadapan.

 

Pelaksanaan kerja pembinaan jambatan (Temerloh) dan pembaikan cerun (Bentong) ini merupakan komitmen Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani dalam membina dan menyenggara rangkaian jalan raya selaras dengan hasrat Program MYJalan KKR yang ingin menyediakan infrastruktur yang selesa dan selamat kepada semua rakyat Malaysia Madani secara konsisten dan berterusan.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7
8
9