Majlis Serah Tugas Menteri Kerja Raya
KUALA LUMPUR, 5 DISEMBER 2022 - YAB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi telah hadir ke Kementerian Kerja Raya bagi Sesi Serah Tugas kepada YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, yang telah dilantik sebagai Menteri Kerja Raya yang baharu. YAB Dato’ Sri Fadillah Yusof merupakan mantan Menteri Kanan Kerja Raya dan pernah menjawat jawatan Menteri Kerja Raya pada 16 Mei 2013 hingga 10 Mei 2018, Menteri Kerja Raya pada 10 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021 sebelum dilantik semula sebagai Menteri Kanan Kerja Raya pada 30 Ogos 2021.
Pada hari ini juga, Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi memulakan hari pertama beliau bertugas secara rasmi di Kementerian Kerja Raya (KKR). Ketibaan beliau disambut oleh Ketua Setiausaha KKR, YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir bin Hj. Wan Sulaiman dan pegawai-pegawai kementerian. Majlis ringkas yang diadakan dimulakan dengan upacara ‘clock-in’, diikuti sesi taklimat berkaitan kementerian yang disampaikan oleh Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir.
Melalui sesi taklimat yang diadakan, pelbagai perkara yang melibatkan fungsi-fungsi dan dasar kementerian telah dibentangkan. Turut dibincangkan adalah persediaan dan tanggung jawab KKR dalam menghadapi situasi banjir yang melanda beberapa kawasan di dalam negara pada ketika ini. KKR telah menubuhkan Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) di peringkat ibu pejabat dan negeri bagi menyelaraskan tindakan yang diperlukan di kawasan terjejas dan mengkoordinasi setiap gerak kerja bagi memastikan akses jalan raya tidak terjejas. Maklumat laluan alternatif akan disediakan sekiranya terdapat laluan yang terjejas akibat banjir.
Dato Sri Alexander berkata, KKR akan sentiasa bekerjasama dengan semua jabatan dan agensi dalam menghadapi situasi bencana dan bersedia untuk menghulurkan bantuan atas kapasiti kementerian pada bila-bila masa yang diperlukan. Sementara itu, beliau berkata melangkah ke hadapan, polisi-polisi dan inisiatif KKR terdahulu yang terbukti berkesan dan memberi manfaat kepada rakyat dan negara akan diteruskan dan dalam masa yang sama, usaha penambahbaikan yang berpaksikan kepada kebaikan kepada semua akan dilaksanakan dari semasa ke semasa.