Hari Inovasi KKR Meraikan Semangat Inovatif Warga Kerja Raya | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
1

Hari Inovasi KKR Meraikan Semangat Inovatif Warga Kerja Raya

ALOR GAJAH, MELAKA, 31 OKTOBER 2022 - Majlis Hari Inovasi Kementerian Kerja Raya dan Agensi bagi Tahun 2022 berlangsung di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE) dan perasmiannya disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir Bin Haji Wan Sulaiman, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) Malaysia.

Majlis Hari Inovasi diadakan selaras dengan usaha kerajaan untuk menjadikan inovasi sebagai salah satu agenda negara khususnya dalam mentransformasikan sektor awam. Selain itu, ia bertujuan untuk memberi pengiktirafan serta penghargaan kepada mereka yang berjaya menghasilkan inovasi yang signifikan serta memberi impak yang besar kepada perkembangan dan kemajuan organisasi termasuk dari segi aspek teknikal demi menghasilkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Bertemakan “Warga Inovatif, Aspirasi Keluarga Malaysia”, acara ini mengiktiraf mereka yang berjaya menghasilkan inovasi untuk dua (2) kategori diperingkat kementerian, tujuh (7) kategori diperingkat JKR, satu (1) kategori diperingkat CIDB dan dua (2) kategori lagi diperingkat LLM. Pada tahun ini juga KKR telah menganjurkan dua (2) pertandingan Piala Pusingan yang baharu di mana KKR dan agensi berpeluang merebut piala pusingan keseluruhan.

Bagi Anugerah Inovasi Pengurusan Pejabat (AIPP) Peringkat KKR dan Agensi, ia dimenangi Bahagian Akaun, KKR manakala Anugerah Inovasi Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat KKR dan Agensi pula dimenangi Kumpulan Putratech, JKR Wilayah Persekutuan, Putrajaya. Para pemenang membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000.00, piala pusingan dan sijil penghargaan.

Malaysia telah disasarkan untuk berada pada kedudukan 20 teratas dalam Indeks Inovasi Global pada tahun 2030 serta mencapai peningkatan 30 peratus produktiviti merentas semua sektor. Berdasarkan laporan dari International Institute for Management Development (IMD) World Digital Competitiveness Ranking 2021, daripada 64 buah negara, Malaysia berada pada kedudukan ke-27 dengan skor 73.29 peratus berdasarkan tiga faktor yang dinilai iaitu pengetahuan, teknologi dan kesediaan masa depan.

Bagi memastikan produk-produk inovasi yang dihasilkan KKR dan agensi tidak terhenti di peringkat konvensyen sahaja, CREaTE telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan Bengkel Due Diligence JKR di mana bengkel ini merupakan satu platform untuk menilai tahap kesediaan teknologi inovasi JKR berdaya saing dan berpotensi untuk dikomersialkan.

Sebagai contoh, produk inovasi Median Night Reflector Post 2.0 dari JKR Daerah Kerian melalui Konvensyen KIK tahun 2009 telah mendapat Certificate Of Utility Innovation dari Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada bulan November 2021. Sebanyak 890 unit telah terjual dan dipasang di beberapa jalan utama di negeri Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Perak. Produk inovasi New Generation i-Supervision dari Cawangan Kejuruteraan Elektrik, JKR pula telah dipasang di Hospital Petra Jaya, Kuching dan Hospital Lawas, Sarawak. Ini jelas menunjukkan bahawa KKR dan agensinya mampu menghasilkan produk-produk berinovasi sehingga mampu dikomersialkan dan petanda baik kemajuan negara.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
11
12
13