Pertandingan Akhir World Skills Malaysia Belia (WSMB) 2022 Cungkil Bakat Kemahiran Belia Negara | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
1

Pertandingan Akhir World Skills Malaysia Belia (WSMB) 2022 Cungkil Bakat Kemahiran Belia Negara

BANGI, 5 OKTOBER 2022 - Pertandingan World Skills Malaysia Belia (WSMB) 2022 meneruskan objektifnya mencungkil bakat kemahiran belia negara untuk pertandingan kemahiran peringkat antarabangsa iaitu Pertandingan Kemahiran ASEAN (ASEAN Skills Competition – ASC), World Skills Asia (WSA) dan Pertandingan Kemahiran Sedunia (World Skills Competition – WSC).

Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Arthur Joseph Kurup telah merasmikan pertandingan peringkat akhir acara tahunan ini yang dianjurkan bersama-sama Jabatan Pembangunan Kemahiran  (JPK), Kementerian Sumber Manusia (KSM) sejak tahun 2010.  Sebanyak 12 bidang kemahiran pembinaan di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya (KKR) dipertandingkan untuk tahun ini. 

Penyertaan kali ini merupakan penyertaan yang teramai sejak pertandingan ini mula dianjurkan pada tahun 1989. Seramai 359 belia daripada Institut Latihan Kemahiran Awam dan Institut Latihan Kemahiran Swasta telah menyertai sesi pra-kelayakan dan daripada jumlah tersebut seramai 82 peserta telah berjaya mara ke peringkat akhir.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyifatkan peningkatan penyertaan ini membuktikan negara tidak lokek dengan bakat-bakat muda dalam TVET pembinaan selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri untuk menjadikan bidang kemahiran sebagai pilihan utama kerjaya anak-anak muda Keluarga Malaysia.

Dalam pada itu, YB Datuk Arthur Joseph Kurup berkata sebagai Kementerian yang bertanggungjawab kepada industri pembinaan negara, KKR akan memberikan kerjasama yang sebaiknya  kepada agenda memperkasakan TVET Negara memandangkan TVET adalah pelaburan dan bukan kos, dengan pulangan yang signifikan kepada negara dan masyarakat.

Bagi mendepani teknologi megatrend yang sedang mengubah landskap sektor pembinaan di seluruh dunia, KKR menerapkan teknologi megatrend ke dalam industri pembinaan antaranya Industrialised Building System (IBS), Building Information Modelling (BIM), Blockchain, Artificial Inteligence dan 3D Printing. 

Usaha-usaha ini memerlukan profesional dan graduan TVET yang berkemampuan dalam menghadapi cabaran ekonomi dan perubahan teknologi yang pantas serta kemunculan pelbagai teknologi baharu dalam era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
0
1
2
3
4
5
6
7