Pembukaan Persimpangan Bertingkat Sri Aman Lebuhraya Pan Borneo Sarawak
SRI AMAN, 4 SEPTEMBER 2022 – Fasa pertama Lebuhraya Pan Borneo sepanjang lebih 786 kilometer (km) merentasi bahagian utara Sarawak hampir siap sepenuhnya. Hari ini satu lagi persimpangan bertingkat di bawah projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak iaitu Persimpangan Bertingkat Sri Aman dibuka secara rasmi kepada orang ramai.
Majlis bersejarah ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof dan turut dihadiri oleh YB. Ir Aidel Bin Lariwoo, Timbalan Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur). Kos keseluruhan bagi pembinaan persimpangan bertingkat Sri Aman ini adalah RM28.8 juta dengan keluasan 19.4 hektar sepanjang 1 km.
Persimpangan bertingkat Sri Aman ini mula dibina pada 1 September 2016 dan telah dibuka untuk kegunaan pengguna jalan raya pada 30 Ogos 2022. Projek di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan ini mampu membantu menyuraikan trafik dari Serian ke Sri Aman dan Betong untuk bergerak dengan lebih selesa dan selamat.
Selain itu, ia akan menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan sekitarnya contohnya Lachau, Temudok, Sri Aman, Engkilili dan Skrang dengan akses jalan raya yang lebih baik. Pelaksanaan projek ini juga merupakan bukti komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan rangkaian jalan raya sedia ada, secara lebih terancang, sistematik dan efisien. Ia juga dilakukan bagi meningkatkan kesalinghubungan Keluarga Malaysia di Sarawak.
- Log in to post comments