Jelajah FTRoadpedia Zon Selatan (Hari Kedua)
KOTA TINGGI, JOHOR, 19 OGOS 2022 – Hari kedua Jelajah FTRoadpedia Selatan 2.0 yang diketuai oleh Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof diteruskan dengan tinjauan ke lokasi yang menerima jumlah aduan yang tinggi daripada pengguna jalan raya. Lokasi tersebut adalah di beberapa seksyen Jalan Persekutuan FT003. Laluan FT003 bagi negeri Johor merupakan Jalan Persekutuan sepanjang 169.95 KM bermula dari daerah Mersing sehingga daerah Johor Bahru.
Bermula Jun 2022, kerja penyenggaraan di laluan ini akan dilaksanakan secara Performance Based Contract (PBC). Kontrak baru secara PBC yang ditandatangani pada 2 Jun 2022 ini akan tamat pada Februari 2026. Pelaksanaan kontrak ini merupakan satu pendekatan baru yang lebih holistik bagi kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan di mana tahap prestasi perkhidmatan bagi kerja penyenggaraan yang dilaksanakan oleh pihak syarikat dilantik, diukur melalui pencapaian KPI yang telah ditetapkan.
PBC merupakan model penyenggaraan yang lebih sistematik dan lebih berkesan berbanding kontrak konvensional sedia ada yang bersandarkan pencapaian terhadap kerja siap berdasarkan skop kerja yang ditetapkan. Melalui pelaksanaan kontrak PBC ini, terdapat elemen perkongsian risiko yang akan digalas bersama oleh pihak syarikat konsesi yang dilantik.
Jelajah hari kedua Ftroadpedia Zon Selatan melibatkan tinjauan di beberapa lokasi kerosakan di sepanjang Laluan FT003 dari daerah Mersing sehingga daerah Kota Tinggi. Antara lokasi yang dibuat tinjauan adalah di Seksyen 169.5 – 169.3 (Endau, sempadan Pahang - Johor), Seksyen 88 – 83 (Mersing) dan Seksyen 35 (Taman Sri Saujana, Kota Tinggi). Lokasi ini menerima aduan kerosakan jalan akibat tampalan berulang, rutting, shoving dan jalan retak.
Kerja-kerja pembaikan kerosakan di lokasi ini akan dilaksanakan di bawah kontrak PBC. Bagi tahun 2022, Kementerian Kerja Raya telah memperuntukkan sebanyak RM 52.8 juta untuk pelaksanaan kontrak PBC di Laluan Persekutuan FT001, FT003 dan FT005 negeri Johor. Tinjauan pada hari ini turut melibatkan lawatan di Seksyen 49 Hutan Lipur Panti, Kota Tinggi yang sering menerima aduan kemalangan melibatkan haiwan liar seperti gajah, selain aduan kerosakan jalan.
Sehubungan itu, bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya di lokasi ini, KKR telah memperuntukkan sejumlah RM200 ribu untuk pemasangan lampu jalan di kawasan gelap dan berisiko. Selain Jalan Persekutuan, delegasi jelajah turut dibawa meninjau tapak projek Pembinaan Directional Ramp di Persimpangan Senai Desaru Expressway (SDE) selepas Plaza Tol Penawar menghala ke Bandar Penawar / Pengerang di Jalan Persekutuan FR92.
Bagi menangani isu kesesakan waktu puncak di Persimpangan Lampu Isyarat Bandar Penawar, Kerajaan Persekutuan melalui Pasukan Khas JKR PIPC (JKR-PIPC) telah memulakan projek menaiktaraf persimpangan tersebut pada 28 Februari 2022. Projek ini melibatkan skop kerja membina directional ramp dua (2) lorong sepanjang 1525 meter, menaik taraf laluan Kota Tinggi dan laluan Kg Tg Balau kepada 4 lorong 2 hala sepanjang 250 m, kerja pengalihan utiliti dan juga memasang perabot jalan. Kos kontrak projek ini adalah sebanyak RM81.11juta Apabila siap kelak, laluan ini dijangka akan menyuraikan kesesakan trafik di persimpangan SDE - Bandar Penawar yang merupakan laluan utama ke Pengerang, Johor.
Selain itu, pada tahun 2031, Syarikat Senai Desaru Expressway Berhad sebagai syarikat konsesi di laluan tersebut akan melaksanakan kerja pelebaran lorong lebuh raya di jajaran Pakej 3 dengan menaiktaraf jajaran kepada konfigurasi 4 lorong, 2 hala dengan piawaian R6 (ATJ) sepanjang 28.1km antara Persimpangan Bertingkat Cahaya Baru ke Persimpangan Bandar Penawar. Projek ini dijangka siap pada 2034.
- Log in to post comments