Cabutan Undi 116 Kerja Penyenggaraan Jalan Zon Tengah/Timur Bernilai RM48.21 Juta Untuk Kontraktor Kecil Bumiputera G1-G4 | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

Cabutan Undi 116 Kerja Penyenggaraan Jalan Zon Tengah/Timur Bernilai RM48.21 Juta Untuk Kontraktor Kecil Bumiputera G1-G4

Kuala Lumpur, 30 Ogos 2024 – YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya petang ini telah menyaksikan dan seterusnya turut membuat cabutan undi bagi Program Penyenggaraan Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia - Zon Tengah dan Timur Tahun 2024. Program Penyenggaraan ini terbahagi kepada dua (2) iaitu Penyenggaraan Berkala Pavemen (BP) dan Berkala Bukan Pavemen (BBP) yang melibatkan kerja-kerja di negeri Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

 

Pada bulan Ogos 2024, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kementerian Ekonomi telah meluluskan peruntukan tambahan penyenggaraan jalan persekutuan seluruh Semenanjung Malaysia bagi memperkasa Kontraktor Bumiputera G1-G4. Jumlah kerja yang diluluskan adalah bernilai RM100 juta (280 kerja penyenggaraan) dengan pecahan RM70 juta untuk Berkala Pavemen (79 kerja penyenggaraan) dan RM30 juta untuk Berkala Bukan Pavemen (201 kerja penyenggaraan).

 

Bagi Zon Tengah dan Timur, sebanyak 32 kerja Berkala Pavemen bernilai RM34.86 juta ditawarkan dengan Selangor 10 kerja (RM10.6 juta), Pahang 10 kerja (RM12 juta), Terengganu 5 kerja (RM5.5 juta) dan Kelantan 7 kerja (RM6.76 juta). Kerja-kerja penyenggaraan jalan Berkala Pavemen melibatkan kerja pembaikan turapan dan struktur jalan yang rosak menggunakan pelbagai teknik yang bertepatan dengan jenis kerosakan seperti mill & pave, overlay, pembinaan semula struktur jalan (reconstruction) dan menurap semula turapan jalan.

 

Manakala bagi Berkala Bukan Pavemen, sebanyak 84 kerja bernilai RM13.35 juta ditawarkan. Pecahannya ialah Selangor 23 kerja (RM2.18 juta), Pahang 34 kerja (RM6 juta), Terengganu 16 kerja (RM2.1 juta) dan Kelantan 11 kerja (RM3.07 juta). Penyenggaraan Berkala Bukan Pavemen melibatkan kerja-kerja pembaikan aset-aset jalan selain daripada struktur dan turapan jalan seperti mengecat garisan jalan, penyenggaraan jambatan, membaiki longkang, membaik pulih papan tanda, membaiki penghadang jalan dan sebagainya.

 

KKR sentiasa komited dalam menyediakan infra rakyat yang kondusif dan selamat kepada rakyat.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4
5
6
7
8