Langkau ke kandungan utama
0

Tinjauan Timbalan Menteri Kerja Raya Ke Projek Lingkaran Tengah Utama Seksyen 3J, Lipis Dan Menaik Taraf FT 64, Jalan Benta-Jerantut-Maran, Pahang

LIPIS, PAHANG, 26 JANUARI 2023 – Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Dato' Sri Abdul Rahman Haji Mohamad meninjau kemajuan kerja Lebuhraya Tanpa Tol Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU), Seksyen 3J : Kg. Seberang Jelai ke Kg. Relong, Pahang.  Tinjauan ini bertujuan mengenalpasti isu dan cabaran yang dihadapi kontraktor bagi memastikan projek ini dapat disiapkan mengikut jadual yang telah dirancang.

LTU merupakan salah satu dari projek berimpak besar di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) yang melibatkan 6 pakej dari negeri Kelantan ke Pahang.  Salah satu pakej yang terlibat ialah Pakej 3: Gua Musang, Kelantan ke Kg. Relong, Pahang ini.

LTU yang dahulunya dikenali sebagai Central Spine Road (CSR) ini mampu menyingkatkan masa perjalanan pengguna daripada Kuala Lumpur ke Kelantan kepada 3 jam sahaja.

Seksyen 3J melibatkan skop kerja pembinaan jalan baharu berkembar 4 lorong 2 hala (K2-2) piawaian JKR R5 sepanjang 6.95 kilometer (km) dari Kg. Seberang Jelai ke Kg. Relong, pembinaan 5 buah jambatan, 2 buah Vehicular Box Culvert (VBC) dan pengambilan balik tanah.  Projek yang memakan kos sebanyak RM 257 juta ini telah mula dibina pada 29 Jun 2020 dan dijangka siap pada 24 Julai 2024 dengan kemajuan terkini sebanyak 14.10%. 

Turut mendapat perhatian Timbalan Menteri sewaktu tinjauan ini ialah Projek Menaiktaraf Jalan Persekutuan FT64, Jalan Benta-Jerantut-Maran. Laluan FT64 ini merupakan jalan utama menghubungkan Benta dengan Maran yang sering digunakan oleh pengguna jalan raya khususnya penduduk di sekitar Lipis, Pahang.

Kerajaan, melalui KKR dalam proses untuk menaik taraf laluan ini bagi meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan bagi pengguna jalan raya. Projek menaiktaraf ini dibahagikan kepada 3 Fasa dimana Fasa kedua sepanjang 21km yang menghubungkan Jerantut dengan Simpang Jengka telah siap dibina manakala Fasa pertama dan ketiga sedang dilaksanakan.

Tarikh Dan Waktu Acara