Langkau ke kandungan utama
0

Tinjauan Menteri Kerja Raya Ke Projek Jalan Persekutuan Dan Jambatan Kedua Pulau Pinang

SEBERANG PERAI, 12 JANUARI 2023 – YB Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah mengadakan sesi lawatan kerja ke Pejabat Operasi Jambatan Kedua Sdn. Bhd serta tinjauan Projek Menaik Taraf Jambatan FT001/724/5 Merentasi Sungai Kerian dan Pembinaan Jejambat Merentasi Persimpangan Jalan Persekutuan ke Jalan Transkrian FT001/FT283 Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Lawatan kerja ke Pejabat Operasi Jambatan Kedua Sdn. Bhd. bertujuan untuk meninjau operasi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Wilayah Utara dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Pulau Pinang.  LLM Wilayah Utara memainkan peranan dalam mengawal selia 57 lokasi persimpangan bertingkat, 12 lokasi Kawasan Rehat dan Rawat dan 23 lokasi hentian sebelah.

Ini melibatkan 6 lebuh raya sepanjang 522.2km iaitu E1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) – sebelah Utara, E15 Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE), E36 Jambatan Pulau Pinang (JPP), E17 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), E28 Jambatan Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah (JSAHMS) dan E32 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (LPB) Perak (Seksyen 8, 9, 10).

Lawatan kerja seterusnya adalah ke pelaksanaan Projek Menaik Taraf Jambatan FT001/724/5 Merentasi Sungai Kerian dan Membina Jejambat Merentasi Persimpangan Jalan Persekutuan ke Jalan Transkrian FT001/FT283 Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.  Tarikh milik tapak projek ini adalah pada 8 Julai 2021 dan dijangka siap pada 2 Februari 2025 dengan anggaran kos sebanyak RM209 juta. 

Skop utama projek ini melibatkan kerja menaik taraf jalan daripada dua lorong kepada empat lorong dua hala dengan piawaian U5 sepanjang 1.35km yang merupakan projek menaik taraf persimpangan at grade di FT001/FT283 Jalan Transkrian, membina sebuah jejambat di persimpangan USM FT 001 dan satu jambatan baru di Sungai Kerian.

Projek ini bakal membantu dalam penyuraian trafik di sebahagian FT001 dari Pulau Pinang ke Perak, menjimatkan masa perjalanan pada waktu puncak, mengatasi masalah banjir kilat dan sekaligus menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna laluan tersebut.

Tarikh Dan Waktu Acara