Langkau ke kandungan utama
0

Speed Sign Radar – Teknologi Kaji Tingkah Laku Pengguna Jalan Raya

LIPIS, PAHANG, 26 JANUARI 2023 – Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Dato' Sri Abdul Rahman Haji Mohamad telah meninjau sistem Speed Sign Radar (SSR) yang dipasang berhadapan Stesen Timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Benta, Pahang.

SSR merupakan produk inovasi Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan hasil kolaborasi bersama syarikat teknologi tempatan, Vectolabs Sdn. Bhd dan Universiti Teknologi Mara (UiTM). 

SSR adalah satu sistem berasaskan teknologi Internet of Things (IoT) dan Radar bertujuan untuk meningkatkan kesedaran keselamatan pengguna jalan raya dengan memaparkan kelajuan kenderaan di papan pemuka bersebelahan jalan raya dan boleh juga diakses melalui aplikasi dan laman web.

Data yang diperolehi daripada SSR secara atas talian dan ‘real-time’ seperti bilangan, jenis dan kelajuan kenderaan yang direkod melalui lantunan gelombang oleh Radar dan dihantar ke pengstoran awam (cloud) melalui internet. Data yang diperolehi daripada sistem ini dapat dianalisa bagi mengenal pasti tingkah laku pengguna jalan raya.

Daripada analisa data ini, ia boleh dijadikan sebagai maklumat bancian jalan raya untuk digunakan sebagai panduan bagi perancangan pembangunan dan penyelenggaraan jalan raya. Data ini juga boleh digunakan oleh pihak berkuasa bagi tujuan penguatkuasaan terhadap ketidakpatuhan had laju oleh pengguna jalan raya.

Penerangan telah disampaikan oleh Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin, Pengarah Kejuruteraan (Pakar ICT) Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE) JKR Malaysia dan En.Faizal Ali, CEO Vectolabs Technologies Sdn Bhd.

Sehingga kini sebanyak enam (6) unit SSR telah dipasang iaitu seunit di Sungai Buloh Selangor, seunit di Klang Selangor, tiga unit di Kuala Lipis, Pahang dan seunit di Pulau Pinang.

Keselamatan pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan KKR dan JKR serta sentiasa berusaha menyediakan infrastruktur jalan raya yang selamat dengan kos yang optimum termasuk meneroka teknologi terkini bagi memenuhi keperluan trafik semasa.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita