Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

SRI AMAN, 27 Februari - Komitmen Kerajaan dalam memastikan taraf hidup dan kemudahan kesihatan yang baik bagi masyarakat sekitar Sri Aman, Sarawak diterjemahkan melalui usaha membina Hospital Baru Sri Aman yang merupakan projek Gantian kepada Hospital sediaada yang dibina 60 tahun dahulu (1954).

Perletakan Batu Asas hospital ini telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam satu majlis yang telah diadakan di tapak binaan hospital tersebut.  Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S Subramaniam dan Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof.

Projek Kementerian Pelanggan, Kementerian Kesihatan Malaysia ini dijadual bermula pada bulan April 2015 ini dan dijangka siap dalam masa 3 tahun dengan kos bernilai RM150 juta.

1

KUCHING, 6 Februari – Majlis Pecah Tanah Jambatan Batang Samarahan telah diadakan hari ini bakal memanfaatkan 240 ribu penduduk sekitar.  Teks ucapan perasmian Ketua Menteri Sarawak, Yang Amat Berhormat, Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Bin Haji Satem telah dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Pembinaan jambatan di hilir Batang Samarahan ini akan melengkapkan jajaran-jajaran jalan raya persisiran pantai yang berdekatan yang menghubungkan Kota Samarahan dan Asajaya. Ketika ini terdapat dua alternatif menghubungkan Kota Samarahan dengan Asajaya iaitu menggunakan pengangkutan feri di Kota Samarahan dan laluan darat melalui Jalan Meranek / Lansat yang menyeberangi hulu Batang Samarahan melalui jambatan di Kampung Melayu.

Jambatan ini direkabentuk mengikut piawai terkini British Standard, iaitu BS5400.  Jambatan sepanjang 774 meter ini, akan menyediakan laluan dua lorong dua hala, laluan pejalan kaki dan jalan tuju sepanjang 3kilometer yang menghubungkan jambatan ke jalan raya berdekatan. Lokasi Jambatan Batang Samarahan adalah di utara Kampung Tambey, sejajar dengan Lebuhraya Samarahan.

Projek ini dijangka siap pada 2018 dan setelah siap pembinaanya, ia akan memanfaatkan kira-kira 240,000 penduduk di Bahagian Samarahan dan memendekkan 30 minit masa perjalanan berbanding menaiki feri.

1

KUALA LIPIS, 5 Februari – Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengadakan tinjauan ke beberapa lokasi yang terjejas akibat banjir sekitar Kuala Lipis, Pahang.

Lokasi pertama adalah Jambatan Sungai Tanum di Kampung Aur Gading yang runtuh akibat banjir baru-baru ini dan taklimat ringkas telah disampaikan oleh pihak Jabatan Kerja Raya Pahang.  Jambatan ini merupakan laluan penduduk dari Kampung Aur Gading, Kampung Berkam serta Kampung Bukit Betong untuk berulang-alik ke bandar Kuala Lipis.

Timbalan Perdana Menteri seterusnya melancarkan projek pembinaan rumah kekal dan projek membaik pulih rumah yang terjejas banjir yang di pantau pembinaannya oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan agensinya, JKR Pahang.

Tinjauan diakhiri dengan majlis penyampaian bantuan wang ihsan bertempat di Dewan Aur Gading, yang turut dibaikpulih oleh para pelatih dari Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan Pusat Giat Mara. Turut serta dalam tinjauan ini ialah Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, YB Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

1

Kuala Lumpur, 30 Januari – Suasana pagi di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks KKR meriah dengan kehadiran warga KKR yang hadir bagi menyambut Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1436H/2015 Peringkat Kementerian Kerja Raya bersempena memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.

Turut hadir pada majlis ini adalah Ketua Setiausaha KKR, Dato’ Sri Zohari Haji Akob, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembanggunan), Dato' Zainudin Bin Zakaria dan Pengurusan atasan Kementerian dan Agensi.

Majlis dimulai dengan selawat beramai-ramai yang diketuai oleh kumpulan nasyid terkemuka Malaysia, Far-East. Disamping itu, ahli kumpulan itu juga berkesempatan menghiburkan para tetamu yang hadir dengan lagu-lagu kegemaran seperti “Syahadah”.

Acara diakhiri dengan sesi perkongsian ilmu tentang amalan Nabi Muhammad S.A.W, sejarah dan sunnah-sunnah baginda oleh penceramah jemputan, Ustaz Syed Norhisham Al-Idrus.

1

PUTRAJAYA, 29 Januari – Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) telah diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk memilih peserta terbaik keseluruhan pertandingan kategori Worldskills Malaysia Belia (WSMB) dan Kategori Worldskills Malaysia Pengajar (WSMP) bagi mewakili Negara menyertai pertandingan World Skills Competition (WSC) di Sao Paolo, Brazil pada bulan Ogos 2015.

Pertandingan WSMB dan WSMP 2014 telah diadakan dari 11 hingga 17 Jun 2014 di pelbagai institusi kemahiran seluruh Negara dengan sembilan bidang kemahiran WSMB yang melibatkan pembinaan telah diurusetiakan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) iaitu Welding, Plumbing and Heating, Joinery, Refrigeration and Air Conditioning, Wall and Floor Tiling, Bricklaying, Mechanical CADD design dan Electrical Installation.

Kemuncak bagi majlis ini ialah pengumuman pemenang Anugerah tangan Emas Perdana Menteri.  Bagi kategori belia, Encik Muhamad Hafiz Rohani daripada bidang Electrical Installation diumum penerima Anugerah manakala bagi kategori pengajar jatuh kepada Khairul Azhar Mat Nasir daripada bidang Automobile Technology.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh YAB Tan Sri Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan antara jemputan utama yang turut hadir  ialah YB Dato’ Sri Richard Riot Anak Jaem, Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Haji Ismail Haji Abd Muttalib, Timbalan Menteri Sumber Manusia dan YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kerja Raya.

Majlis ini turut meraikan peserta dan pakar Negara yang telah memenangi pingat di Asean Skills Competition (ASC) Ke-10 di Hanoi, Vietnam. Secara keseluruhan Malaysia telah mendapat tempat kedua daripada 10 Negara yang bertanding dengan kutipan  9 pingat emas, 4 pingat perak, 4 pingat gangsa dan 17 pingat kecemerlangan.

MATEPM merupakan acara tahunan yang dianjurkan bersama oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan majlis turut diselitkan dengan pelancaran buku alumni WSMB.

1

KUALA KRAI, 29 Januari - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan pembinaan 138 rumah kekal jenis binaan di atas tiang setinggi lapan kaki dari aras tanah bagi mangsa banjir yang kehilangan rumah di Manek Urai Lama di sini.

Beliau berkata dengan ini, pembinaan sesebuah rumah dapat disiapkan dalam tempoh 75 hari dan pelaksanaan projek yang dibuat secara berperingkat itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh setahun.

"Kerana dibina atas cerucuk lapan kaki tinggi (dan) kawasan bawah itu boleh digunakan, bererti (saiz) keseluruhan semua sekali adalah 1,300 kaki persegi dengan nilai setiap sebuah rumah RM48,000.

"Ini beri jaminan (pada) masa depan kalau ada banjir sekali lagi, rumah-rumah seperti ini tidak akan ditenggelami air," katanya dalam sidang media selepas menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru.

Hadir bersama lebih 2,000 mangsa banjir di jajahan Kuala Krai pada majlis itu ialah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof.

Tetamu lain ialah Pengerusi Biro Kebajikan Umno Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ketua Umno bahagian Kuala Krai merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Dabong Datuk Ramzi Ab Rahman.

Sebelum itu, Najib melakukan tinjauan mesra ke tapak pembinaan rumah mangsa banjir di Manek Urai Lama bagi meninjau pembinaan lima rumah kekal jenis binaan di atas tiang selain menyampaikan sumbangan wang ihsan kepada beberapa keluarga di situ.

Najib berkata bagi rumah binaan terus di atas tanah, jumlah keluasan pula adalah 800 kaki persegi berbanding keluasan 660 kaki persegi seperti yang diumumkan kerajaan baru-baru ini dan masih mengekalkan tiga bilik tidur, ruang makan, ruang tamu, satu tandas dan satu bilik mandi.

Beliau berkata peringkat pertama pembinaan rumah melibatkan mangsa yang mempunyai tanah sendiri manakala bagi penduduk yang tinggal di kawasan setinggan serta rizab sungai pula, kerajaan Pusat akan berunding dengan kerajaan negeri.

"Kumpulan ini kita minta kepada kerajaan negeri untuk meluluskan tapak-tapak baharu di tempat lebih selamat, di kawasan lebih tinggi," katanya.

"Di samping itu kerja baik pulih kita dah minta untuk diambil tindakan dengan nilai maksimum RM10,000. Kerja-kerja ini akan diselaraskan dengan agensi pelaksana iaitu Kementerian Kerja Raya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW)," jelas Najib.

Sementara itu, Fadillah berkata pembinaan dan baik pulih rumah yang rosak akan diberi kepada kontraktor dan pekerja yang berada di kawasan yang terlibat banjir dan berdaftar dengan CIDB serta mempunyai rekod yang baik.

"Di Kelantan, terdapat lebih 1,600 kontraktor kelas F yang layak untuk kerja-kerja pembinaan dan baik pulih ini, dan kita akan beri keutamaan kepada mereka dahulu bagi pelaksanaan pembinaan dan baik pulih rumah.

"Ia akan dipantau oleh jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan Persekutuan. Kita anggarkan akan bina kira-kira 3,000 unit rumah di negeri-negeri yang terlibat banjir," katanya.

1

KUCHING, 26 Januari – Lembaga Jurutera Malaysia Jerayawara (BEM Roadshow) 2014/2015 bertemakan “Staying Relevant” telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Haji Fadillah Haji Yusof, selaku Menteri Kerja Raya, Malaysia di Pullman Hotel, Kuching Sarawak.

Acara yang berlangsung selama sehari telah disertai oleh ahli Lembaga Jurutera dari seluruh Malaysia yang dianjurkan bagi memperkenalkan skim perlesenan untuk jurutera yang ingin menawarkan perkhidmatan kejuruteraan profesional di negara ini.

Disamping itu, ianya juga bertujuan untuk memaklum dan mengemaskini akan perkembangan pembangunan yang terkini dan amalan terbaik yang dipraktikkan negara ini mahupun di peringkat antarabangsa.

Topik lain yang menjadi tumpuan utama perbincangan adalah berkenaan dengan tiga (3) pindaan kepada Akta Pendaftaran Jurutera yang diluluskan oleh Parlimen pada 18 Disember 2014.

Pindaan kepada akta itu adalah bertujuan untuk meliberalisasikan profesion kejuruteraan di Malaysia secara berperingkat sehingga mencapai tahap 100 peratus, jika perlu selaras dengan keputusan kerajaan yang menghendaki sektor perkhidmatan dibuka untuk penyertaan dan pemegangan ekuiti asing sehingga 100 peratus.

Y.Bhg Datuk Ir. Annies Md. Ariff, Presiden Lembaga Juruteta Malaysia yang juga berucap pada acara itu menyatakan bahawa “langkah pindaan diambil sebagai keperluan untuk meningkatkan lagi keselamatan awam dalam industri pembinaan”.

Sehubungan itu, pindaan ini juga diharap akan mengalakkan lagi persaingan sihat disamping memperbanyakkan lagi peluang pakar-pakar negara untuk menceburi pasaran baru di negara luar.

Disediakan oleh: Muhamad Khaliss

1

KUALA LUMPUR, 22 Januari – Warga Kerja Raya dan Agensi telah berkumpul bersama-sama bertujuan mendengar Ucapan Tahun Baharu 2015 yang disampaikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid hari ini.

Antara intipati ucapan tersebut adalah penghargaan terhadap pasukan Misi Bantuan Banjir dan Pasca banjir iaitu Pasukan Mercy KKR dan JKR beserta agensi lain, LLM dan CIDB  bersama-sama syarikat konsesi, kontraktor senggara yang telah menghantar barang dan bahan keperluan serta bergotong-royong membersihkan premis mangsa banjir sekitar Kelantan, Perak, Terengganu dan Pahang.

Turut menerima penghargaan adalah para petugas Pusat Pengurusan Bencana Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia yang bertugas 24 jam menyalurkan maklumat bencana seperti tanah runtuh, mendap dan rosak dengan dibantu pasukan Media Sosial KKR yang aktif menyebarluas maklumat tersebut kepada orang awam.

YB Menteri turut menyentuh perkembangan sektor pembinaan Negara, usaha pemantapan Akta Badan Profesional yang melibatkan Kementerian, kejayaan kontinjen Malaysia di ASEAN Skills Competition (ASC) ke-10 di Hanoi, Vietnam,  selain hasrat Kerajaan untuk melaksanakan Kutipan Tol Secara Elektronik sepenuhnya pada tahun 2018 di semua Lebuhraya Bertol.

Pada akhir ucapannya, Menteri Kerja Raya menyeru supaya semua warga Kerja Raya mengeratkan kerjasama, persefahaman dan menggembleng tenaga dalam merealisasikan segala perancangan yang telah dibuat bagi memastikan negara berada di atas landasan yang tepat dalam melaksanakan aspirasi nasional.

1

KUALA LUMPUR, 19 Januari – Program televisyen Landskap terbitan RTM telah menemubual Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Haji Yusof berhubung isu Pasca Banjir hari ini bertempat di Studio 1, wisma TV, Angkasapuri.

Rancangan siaran secara langsung selama sejam ini telah disiarkan melalui saluran TV1 bermula pada jam 9.05 malam.  Pelbagai topik telah dikupas serta dibincangkan khususnya berhubung usaha dan perancangan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam memperbaiki dan menguruskan infrastruktur yang telah terjejas akibat banjir, tanah runtuh dan mendap baru-baru ini.

Peranan Pusat Pengurusan Bencana Jabatan Kerja Raya (JKR) turut disentuh apabila ia menjadi nadi informatif status bencana yang melibatkan jalanraya persekutuan dan negeri.  Selain itu usaha para sukarelawan yang terdiri daripada warga Kerja Raya, Agensi serta syarikat konsesi turut dikongsikan dimana mereka telah terlibat dalam usaha menghantar misi bantuan bahan keperluan selain kerja-kerja mencuci dan membersihkan premis terjejas sepanjang musim pasca banjir.

1

KUALA LUMPUR, 19 Januari - Kementerian Kerja Raya (KKR) meneruskan kecemerlangan dalam pengurusan kewangan berdasarkan indeks akauntabiliti bagi tahun 2013 apabila berjaya memperolehi Anugerah Kecemerlangan tersebut hari ini.

Penyampaian anugerah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara (KSN) dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Sri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya.  Tuan Haji Sarani bin Dollah, Timbalan Ketua Setiausaha KKR telah menerima anugerah bagi pihak Kementerian.

Ucapan aluan pula disampaikan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Setia Haji Ambrin Buang, Ketua Audit Negara.  Majlis ini turut dihadiri penerima anugerah bagi kategori Kementerian, Jabatan dan Badan Berkanun yang dinilai oleh Jabatan Audit Negara.